Perkhidmatan dipastikan efisien

Perkhidmatan dipastikan efisien

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Kementerian Pembangunan amat peka dan terus berusaha untuk memastikan bahawa perkhidmatan yang diberikan serta proses-proses permohonan bagi orang ramai dilaksanakan secara efisien.

Dalam hubungan itu, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah semasa Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang, hari ini, berkata kementeriannya memang banyak terlibat dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan menyedari akan hal itu, proses-proses permohonan sentiasa dikaji dan diperbaiki sebagaimana yang perlu.

Dalam mukadimahnya lagi, beliau menyentuh mengenai dua jenis perkhidmatan yang berkaitan pertunjuk Bank Dunia iaitu dalam laporan Ease of Doing Business, di mana terdapat banyak pengalaman dalam memperbaiki proses yang boleh dikembangkan ke perkhidmatan-perkhidmatan yang lain.

Beliau berkata bahawa petunjuk yang berkaitan di Kementerian Pembangunan ialah Registering Property dan Dealing with Construction Permit di mana bagi Registering Property, ia berkaitan dengan proses pindah milik tanah.

Yang Berhormat Dato Haji Bahrin menambah, “Walaupun negara menduduki tempat ke-148 tetapi reformasi dan pembaikan yang telah dilaksanakan telah dapat mengurangkan tempoh proses daripada hampir 300 hari yang dilaporkan Bank Dunia kepada purata 98 hari bagi permohonan-permohonan bulan Disember 2015, iaitu menurut data terkini yang dipantau oleh Unit PENGGERAK di Jabatan Perdana Menteri.

pg05_160316_b

“Tempoh proses ini akan diperbaiki lagi dengan adanya Sistem Land Application and Registration Information System atau LARIS yang percubaannya telah dilancarkan pada bulan Februari lalu, yang mana sistem memudahkan pengguna untuk menjalankan urus niaga tanah secara online.”

Sementara itu, Yang Berhormat Dato Haji Bahrin berkata, bagi Dealing with Construction Permit pula, negara menduduki tempat ke-21 tetapi sungutan orang rama berhubung perkara itu ialah kelambatan mendapat kebenaran.

“Dengan mulanya berkuat kuasa Perintah Kawalan Bangunan 2014 pada 1 November 2015, proses-proses mendapatkan kebenaran kemajuan, kebenaran memulakan kemajuan dan kebenaran mendiami, dijangka akan dapat dipercepatkan lagi terutama bagi kerja-kerja kecil atau sederhana.

“Permohonan bagi kebenaran kemajuan akan diproses mengikut kategori berasaskan saiz kemajuan dengan fokus kepada perusahaan dan perniagaan, kebenaran memulakan kemajuan telah dikurangkan TPOR nya dari tujuh hari kepada satu hari dan kebenaran mendiami sedang diteliti cara untuk memendekkan tempoh prosesnya.”

Manakala itu, ketika menyentuh mengenai pembiayaan projek melalui PPP, Yang Berhormat Dato Haji Bahrin berkata bahawa kementeriannya sedang giat berusaha menilai dan menyenaraikan perkhidmatan-perkhidmatan dan projek infrastruktur yang berpotensi untuk dibiayai secara kerjasama atau PPP.

Beliau berkata, antara projek-projek yang telah dikenal pasti mempunyai potensi setakat ini ialah projek perumahan dan perkhidmatan air.

Kementerian Pembangunan juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk menggunakan kaedah TPP berpatutan yang dapat memberi pulangan kepada para pelabur dan yang dapat disesuaikan dengan keadaan dan iklim perekonomian negara.

Sementara itu, mengulas mengenai pengurusan sumber tenaga manusia, beliau berkata, untuk meningkatkan jumlah pegawai-pegawai kompeten dan profesional, Kementerian Pembangunan sedang merangka pengurusan sumber tenaga manusia yang lebih terarah dengan menilai struktur organisasi, jabatan-jabatan dan pengagihan sumber tenaga manusia masing-masing, menilai keperluan meningkatkan atau mengimbangkan kakitangan teknikal dan bukan teknikal, melihat keperluan menggabung sumber, menyediakan lalu perkembangan kerjaya (career development path) dan perancangan penggantian (succession planning).

Manakala itu, menyentuh mengenai kapasiti penguatkuasaan yang lebih mantap, Yang Berhormat Dato Haji Bahrin mengakui tahap penguatkuasaan undang-undang dan peraturan kerajaan yang ada pada masa ini, masih banyak yang boleh diperbaiki.

“Isu-isu yang ketara ialah seperti isu-isu pencerobohan tanah kerajaan, kemajuan atau kegiatan yang dijalankan tanpa ada kebenaran, pembuangan sampah yang tidak teratur dan sebagainya.”

Dalam hal ini, Kementerian Pembangunan berhasrat untuk menggabungkan tenaga penguatkuasaannya dengan penguat kuasa-penguat kuasa yang lain di jabatan-jabatan kerajaan yang berkepentingan di mana penggabungan ini diharap akan lebih berupaya menjalankan penguatkuasaan secara lebih bersepadu.

Salah satu isu yang boleh juga dianggap sebagai isu penguatkuasaan ialah isu tunggakan. Pada masa ini, tunggakan-tunggakan utama di kementerian ialah tunggakan cukai tanah sebanyak $3 juta, tunggakan bayaran Rancangan Perumahan Negara sebanyak $25 juta dan tunggakan bayaran air sebanyak $33 juta.

Tunggakan-tunggakan sedemikian ini setentunya membebankan dan merugikan kerajaan. Oleh yang demikian, Kementerian Pembangunan melalui jabatan-jabatan yang berkenaan akan meningkatkan usaha dengan lebih giat lagi untuk mengutip tunggakan-tunggakan tersebut.

Kementerian Pembangunan dalam memacu reformasi sama ada ke arah perkhidmatan-perkhidmatan kepada orang ramai mahupun proses-proses dalaman agar lebih berkesan, sejak bulan November 2015, telah memperkenalkan Pelan 90 hari (Rolling 90 Day Pelan) sebagai pendekatan pembaikan berterusan di Kementerian Pembangunan.

Beliau berkata berasaskan pelan itu, cadangan-cadangan pembaikan yang disenaraikan oleh jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian dalam kementerian dan kemajuan setiap inisiatif pembaikan dipantau secara berkala sekurang-kurangnya selepas setiap tiga bulan.

“Walaupun inisiatif ini baru saja diperkenalkan dan masih terlalu awal untuk menilai berjaya atau tidak, setakat ini, ia telah dapat membuahkan hasil awal dengan menumpukan pemikiran khususnya di kalangan peringkat ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kementerian untuk sentiasa mengusahakan pembaikan secara berterusan.”

ARTIKEL YANG SAMA