Perkhidmatan Kesihatan di bulan Ramadan

Perkhidmatan Kesihatan di bulan Ramadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan bahawa Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi akan melanjutkan perkhidmatannya di luar waktu bekerja sepanjang bulan Ramadan ini.

Menurut kenyataan kementerian berkenaan hari ini, Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan akan dibuka dari pukul 8:00 pagi hingga 2:00 petang, dan 7:30 malam hingga 10:00 malam setiap hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Bagi hari Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam pula, perkhidmatan pusat ini akan dibuka dari pukul 2:00 petang hingga 5:30 petang dan 7:30 malam hingga 10:00 malam.
Sementara itu, Pusat Kesihatan Sungai Liang akan dibuka dari pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja bagi hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu, manakala hari Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam, dibuka dari pukul 2:00 petang hingga 9:00 malam.

Kenyataan itu berkata, pada hari-hari kelepasan awam yang bersambung dengan hujung minggu atau hari kelepasan awam yang lebih daripada sehari, Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi akan dibuka dari jam 2.00 petang hingga 5.30 petang dan 7.30 malam hingga 11.00 malam.

Waktu perkhidmatan bagi semua Pusat Kesihatan yang lain pada bulan Ramadan ini akan dibuka seperti biasa dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan bahawa waktu menderma darah semasa bulan Ramadan ini adalah dari pukul 8:15 malam hingga 10:00 malam pada tarikh-tarikh yang ditetapkan, iaitu 20, 22, 23, 25, 27, 29 Jun, serta 2, 6, dan 9 Julai.

Oleh itu, orang ramai yang ingin menderma darah adalah dialu-alukan datang ke Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS pada masa dan tarikh yang telah ditetapkan.

Untuk makluman lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS, Kementerian Kesihatan di talian 2242424 sambungan 5745/5709, atau menghantar e-mel ke alamat wbdd2015bn@gmail.com/ bdcripas@gmail.com, selain itu orang ramai juga boleh mengikuti akaun media sosial Facebook (BloodBankRIPAS.Brunei) dan Instagram (@bloodbank_ripas dan @wbdd2015bn).

Dalam pada itu, kementerian juga memaklumkan bahawa perkhidmatan bas ulang-alik akan dibuka dari pukul 6:00 pagi hingga 6:00 petang dan disambung dari jam 7 malam hingga 11 malam, setiap hari kecuali pada hari Jumaat, Ahad dan kelepasan awam.

ARTIKEL YANG SAMA