Perkhidmatan KKIA Seria, Kuala Belait digabungkan

Perkhidmatan KKIA Seria, Kuala Belait digabungkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Selaras dengan tumpuan strategik utama Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya, semua perkhidmatan yang disediakan oleh Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Seria di Pusat Kesihatan Seria, Jalan Lorong Satu Barat, Pekan Seria akan dipindahkan sepenuhnya ke KKIA Kuala Belait di Pusat Kesihatan Kuala Belait di dalam kawasan Suri Seri Begawan Hospital berkuat kuasa dari 1 September 2016.

Bagaimanapun, Pusat Kesihatan Seria masih lagi memberikan perkhidmatan teras bagi menampung keperluan penduduk Mukim Seria seperti Klinik Am dan Flu, Klinik Penyakit Kronik dan Pergigian. Perkhidmatan lain yang disediakan adalah Klinik Komuniti Lawatan Psikiatri, Klinik Berhenti Merokok, Klinik Ujian Pap dan Klinik Pemeriksaan Kesihatan.

KKIA Kuala Belait akan menyediakan perkhidmatan penjagaan semasa mengandung; Klinik Ultrasound Sebelum Bersalin; penjagaan selepas bersalin; pemeriksaan kesihatan wanita berusia antara 38 dan 65 tahun dan perkhidmatan jarak kelahiran; ujian kanser pangkal Rahim; pemeriksaan rutin pembangunan fizikal dan am kanak-kanak sejak lahir hingga lima tahun dan perkhidmatan Imunisasi untuk wanita hamil dan kanak-kanak sejak lahir hingga lima tahun.

Penggabungan perkhidmatan dua buah pusat kesihatan itu akan dikendalikan oleh tenaga kerja yang terdiri daripada dua orang pegawai perubatan kekal, sembilan kakitangan kejururawatan dan lima kakitangan sokongan.

Pasukan itu nanti akan menyediakan klinik-klinik yang diterajui oleh doktor tambahan untuk perkhidmatan seperti: enam sesi Klinik Kesihatan Kanak-kanak (berbanding dua sesi di Seria dan tiga sesi di Kuala Belait sebelumnya; tiga sesi Klinik Sebelum Bersalin (berbanding satu sesi sebelumnya di Seria dan dua hingga tiha sesi di Kuala Belait; dua sesi Klinik Selepas Bersalin (berbanding satu sesi di Seria dan 0.5 sesi (bercampur) di Kuala Belait; dua sesi Klinik Ultrasound Sebelum Bersalin; dan tiga sesi Klinik Kesihatan Wanita (berbanding satu sesi sebelumnya di Seria dan 0.5 sesi (bercampur) di Kuala Belait.

Sebagai sebahagian daripada persediaan penyatuan perkhidmatan KKIA Seria ke Kuala Belait, para pelanggan akan diberi pilihan untuk memindahkan jagaan mereka ke KKIA Kuala Belait atau KKIA Sungai Liang. Mereka yang mempunyai masalah akses akan ditangani secara individu.

KKIA Kuala Belait akan memberikan perkhidmatan kepada penduduk dari Mukim Kuala Belait, Mukim Kuala Balai dan Mukim Seria dengan waktu operasi pada hari biasa bermula dari jam 7:45 hingga12:15 tengah hari dan dari jam 1:30 petang hingga 4:30 petang.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi jururawat Pusat Kesihatan Seria di talian 3222651/3222655 atau jururawat KKIA Kuala Belait di talian 3335331 ext 3170.

ARTIKEL YANG SAMA