Perkhidmatan MerchantSuite dilancarkan

Perkhidmatan MerchantSuite dilancarkan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Dalam usaha untuk memberi sokongan lanjut kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan, Bank Baiduri telah melancarkan perkhidmatan terbarunya dinamakan MerchantSuite, hari ini.

Pelancarannya di hadapan para tetamu yang kebanyakannya terdiri daripada pengusaha PKS tempatan, telah disempurnakan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Hotel Radisson.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof semasa berucap di majlis itu berkata, strategi mereka adalah untuk sentiasa bekerjasama dengan yang terbaik, nama-nama paling bereputasi baik di dunia agar mereka dapat mereka bentuk dan menawarkan produk-produk terbaik yang terdapat di pasaran dan yang paling sesuai untuk persekitaran Brunei.

Dikendalikan di bawah Unit Perbankan Perniagaan, MerchantSuite merupakan set penyelesaian bagi membolehkan PKS meningkatkan perniagaan mereka dengan menyediakan platform ‘online’ yang berpatutan dalam mengeluarkan invois dengan mudah dan menerima bayaran kad.

Set ini melengkapkan kewujudan media sosial PKS dan tidak memerlukan persediaan laman web yang mahal untuk usahawan memulakan perniagaan mereka.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin ketika melawat ke pameran produk dan perkhidmatan.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin ketika melawat ke pameran produk dan perkhidmatan.

Ketua Rangkaian Cawangan, Pengurusan Jualan dan Perbankan Perniagaan Bank Baiduri, Aariz Patrick Ng dalam kenyataan akhbar berkata, “MerchantSuite mesra pengguna, mudah dan akan memberi faedah kepada PKS yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan menawarkan pilihan pembayaran kad bagi pelanggan mereka.

“Perkhidmatan ini akan dapat menerima bayaran daripada mana-mana kad kredit atau debit yang mengandungi logo Visa, Mastercard dan American Express,” tambah beliau.

Di samping membolehkan pengguna untuk menerima bayaran kad dengan selamat, selaras dengan komitmen Bank Baiduri untuk menyediakan standard industri yang paling tinggi dalam keselamatan data, MerchantSuite mematuhi PCI-DSS yang diiktiraf di peringkat global.

Memiliki PCI-DSS memerlukan standard keselamatan yang ketat semasa pemprosesan dan penghantaran data pemegang kad, dengan itu memastikan pengguna perlindungan yang lebih baik daripada kebocoran data kad kredit.

Untuk mendaftar MerchantSuite, pelanggan perlu menyediakan dan mengekalkan akaun syarikat di Bank Baiduri. Setelah itu, pelanggan hanya perlu membuat pendaftaran dalam talian yang mudah, dengan empat peringkat pilihan disediakan iaitu Gangsa (AS$60 setahun), Perak (AS$120 setahun), Emas (AS$500 setahun), dan Platinum (AS$1,000 setahun). Mereka yang ingin mendaftar bagi akaun percubaan bolehlah berbuat demikian secara percuma.

Sebagai insentif tambahan, 180 orang pelanggan pertama yang berjaya mendaftar bagi pakej perak, akan mendapat pengecualian daripada bayaran tahunan sebanyak AS$120 setahun.

Majlis pelancaran berkenaan telah diteruskan dengan pameran produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Unit Perbankan Perniagaan Bank Baiduri, yang berakhir pada jam 4:30 petang ini.

Selain daripada MerchantSuite, Unit Perbankan Perniagaan di bawah Perbankan Runcit menyediakan sokongan dan perkhidmatan kepada PKS, seperti Baiduri Internet Gateway System, dan Business i-Banking untuk membantu perniagaan dalam transaksi tanpa kertas dan membantu mereka dalam kemudahan kredit PKS jika layak.

ARTIKEL YANG SAMA