Perkhidmatan Pejabat Pos Mumong diperkembangkan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Jan – Untuk meninjau secara lebih dekat perkhidmatan pos yang dikendalikan di Pejabat Pos cawangan Mumong, Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat telah mengadakan lawatan kerja ke pejabat tersebut, hari ini.

Selain itu, lawatan Yang Berhormat Dato itu juga adalah untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai dan kakitangan pejabat berkenaan dalam perkara-perkara terutama tawaran ruang-ruang kosong untuk disewakan kepada pihak-pihak yang berminat sebagai memberikan perkhidmatan tambahan.

Menyertai sama dalam lawatan berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Dr. Haji Supry bin Haji Awang Ladi serta pegawai-pegawai kanan di kementerian tersebut serta Jabatan Perkhidmatan Pos.

Sepanjang lawatan, Menteri Perhubungan telah meneliti rancangan-rancangan pemajuan perkhidmatan pos yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos di sini, yang telah siap dibina pada tahun 2015 melalui Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-8.

Pada masa ini, cawangan berkenaan mengendalikan perkhidmatan kaunter pembelian setem, kaunter perkhidmatan membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu, penghantaran dan penerimaan persuratan dan bungkusan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa semasa meninjau sambil mendengarkan penerangan daripada pegawai-pegawai Perkhidmatan Pos di salah sebuah ruang kosong di Bangunan Pejabat Pos Mumong.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa semasa meninjau salah sebuah bahagian di Pejabat Pos cawangan Mumong Belait, kelmarin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pos Agung, Haji Rozaly bin Haji Saidon memberitahu bahawa pihak Jabatan Perkhidmatan Pos bercadang untuk mengembang majukan perkhidmatan pejabat cawangan Mumong itu daripada yang sedia ada.

Ini antaranya sedang meneliti peluang-peluang untuk mewujudkan perkhidmatan lain dengan membukakan tawaran kepada pihak yang berminat untuk menyewa ruang-ruang kosong di bangunan itu.

Menurutnya, satu projek yang sedang difikirkan adalah untuk menubuhkan sebuah muzium filatelik yang akan dapat dijadikan sebagai tempat mempamerkan produk-produk filatelik seperti setem kenang-kenangan, sampul hari pertama dan artifak bersejarah yang berkaitan perkhidmatan pos bagi kunjungan orang ramai.

“Jabatan Perkhidmatan Pos juga turut meneliti untuk membukakan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang bukan pos seperti mempelawa mana-mana bank tempatan untuk mengadakan mesin-mesin Perkhidmatan Pengeluaran Wang (ATM), dan perkhidmatan lainnya juga amat dialu-alukan untuk memberikan perkhidmatan yang bernilai tambah (Value Added Services) kepada perkhidmatan yang sedia ada kepada orang ramai,” katanya.

Melalui lawatan itu juga, Menteri Perhubungan dan rombongan telah berpeluang bertemu dengan pihak Persatuan Filatelik Kebangsaan yang diwakili oleh setiausaha agungnya, Awang Bakar Berudin bagi perkongsian perbincangan penubuhan muzium filatelik di bangunan Pejabat Pos cawangan Mumong.

Persatuan Filatelik Kebangsaan merupakan satu-satunya badan bukan kerajaan (NGO) yang berkecimpung dalam pengumpulan setem, artifak dan maklumat berkaitan perkhidmatan pos.

Yang Berhormat Dato turut berkesempatan mendengarkan taklimat ringkas mengenai ruang-ruang kosong di Pejabat Pos cawangan Mumong yang telah disampaikan oleh Penolong Ketua Pos Agung (Pengurusan Aset dan Bangunan), Awang Mohd Hazwan Fitri bin Hassan.

Semasa lawatan berkenaan, Yang Berhormat Dato turut meninjau ke beberapa bahagian pejabat berkenaan antaranya bahagian kaunter, bahagian penyerahan posmen dan ruang-ruang kosong serta kemudahan lainnya di pejabat tersebut.

Bangunan baru pejabat pos yang terletak di Jalan Maulana Singa Menteri, Mumong itu telah dirasmikan pada tahun 2015 bersempena Sambutan Hari Pos Sedunia dan pembinaannya di atas tapak tanah seluas empat ekar (1.6189 hektar) telah menelan belanja $3 juta.