Perkhidmatan peti pos dasar laut ditutup 6 bulan

Perkhidmatan peti pos dasar laut ditutup 6 bulan

KOTA KINABALU, 9 Okt (Bernama) – Perkhidmatan peti pos dasar laut terdalam negara yang terletak di Pulau Layang Layang ditutup selama enam bulan mulai September lalu.

Pengurus Operasi Pejabat Pos Malaysia Sabah Perais Tiying berkata perkhidmatan peti pos dihentikan ekoran penutupan aktiviti rekreasi pulau berkenaan kepada orang awam dan pelancong kerana faktor cuaca.

“Pulau Layang-Layang ini ditutup kepada orang awam dan sektor pelancongan kerana faktor cuaca dan segala aktiviti termasuk perkhidmatan peti pos dasar laut terdalam negara itu ditutup mulai September hingga Februari tahun depan,” katanya kepada pemberita pada program sambutan Hari Pos Sedunia peringkat Sabah di Pejabat Pos Besar hari ini.

Menurutnya, perkhidmatan peti itu akan dibuka semula setelah keadaan cuaca terjamin selamat, sekali gus aktiviti pulau tersebut berjalan seperti biasa.

Katanya, setakat ini sambutan terhadap pembukaan perkhidmatan peti pos di dasar laut itu memberangsangkan terutama daripada para pelancong.

Pada Julai lalu, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan peti pos dasar laut di Pulau Layang-Layang, sekali gus mencipta nama dalam ‘Malaysia Book of Records’ sebagai peti pos dasar laut terdalam negara dengan kedalaman 40 meter dari permukaan laut.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang merasmikan pelancaran itu berkata kedudukan peti pos itu boleh ‘menjadikannya’ terdalam di dunia kerana Susami, Wakayama di Jepun yang ketika ini memegang Guinness World Records pada kedalaman 10 meter.

Peti pos dasar laut itu merupakan projek pos pelancongan kedua selepas yang pertama dilancarkan di Gunung Kinabalu sebagai peti pos tertinggi di Malaysia.

Sementara itu, Perais berkata sambutan Hari Pos Sedunia yang diadakan ini adalah untuk meraikan kakitangan pos yang bekerja keras sepanjang tahun dalam melaksana perkhidmatan penghantaran Pos Malaysia.