Perkhidmatan Radio RTB berbuka puasa dengan anak yatim

Perkhidmatan Radio RTB berbuka puasa dengan anak yatim

Oleh Faridah Haji Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai – Bahagian Perkhidmatan Radio, Radio Televisyen Brunei (RTB) mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim Daerah Brunei dan Muara bertempat di Restoran Desa Cafe, Serusop sempena Projek Jalinan Kasih 2015. Ia merupakan projek kali ke-7 sejak diperkenalkan pada 2009.

Projek Jalinan Kasih dilaksanakan setahun sekali pada setiap Ramadan yang bertujuan membantu mereka yang berkeperluan seperti anak-anak yatim, orang-orang kurang upaya, ibu-ibu tunggal, saudara-saudara baru dan yang seumpamanya. Melalui Projek Jalinan Kasih ini, sumbangan-sumbangan yang diagih-agihkan adalah berupa kewangan dan barang keperluan asasi ke rumah-rumah penerima yang terpilih di semua empat daerah di negara ini.

Projek Jalinan kasih bukan hanya mengagihkan ke rumah-rumah yang memerlukan malahan juga berpeluang mendekati warga kurang bernasib baik.

RTB melalui Perkhidmatan Bahagian Radio, bekerjasama dengan Restoran Desa Cafe untuk berbuka puasa bersama lebih 60 orang anak yatim di daerah Brunei Muara. Di kalangan anak-anak yatim yang hadir dalam usia masih kecil di bawah jagaan ibu mereka setelah bapa atau ayah mereka meninggal dunia akibat kemalangan dan juga faktor kesihatan.

Bergambar ramai bersama Ketua Rancangan Radio RTB merangkap Pengerusi projek Jalinan Kasih 2015, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud, Pengurus Desa Cafe, kakitangan Radio RTB, anak anak yatim dan keluarga anak-anak yatim.

Salah seorang anak yatim menerima sumbangan derma daripada Pengiran Ahmad.
Salah seorang anak yatim menerima sumbangan derma daripada Pengiran Ahmad.

Majlis yang sama juga akan diadakan pada 6 Julai, 11 Julai dan 12 Julai 2015, bagi anak-anak kurang upaya, anak-anak istimewa di Daerah Brunei Muara dan Daerah Belait.

Tujuan projek ini adalah semata-mata memenuhi tanggungjawab sosial warga RTB kepada masyarakat amnya di samping sebagai amal jariah bagi menyemarakkan bulan Ramadan yang mulia ini.

ARTIKEL YANG SAMA