Perkhidmatan teksi dipertingkatkan

Perkhidmatan teksi dipertingkatkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Perkhidmatan teksi negara akan melalui satu perubahan dengan perkhidmatan yang lebih efisien, kompetitif dengan kadar tambang yang berstruktur serta setanding dengan kadar-kadar tambang di negara jiran.

Ia juga akan menawarkan teksi bermeter yang dijangka mula beroperasi pada Julai nanti manakala pemandu teksi akan mempunyai pakaian seragam yang bakal diperkenalkan pada Mei nanti.

Ini dinyatakan oleh Pengarah Pengangkutan Darat, Dr Haji Supry bin Haji Ladi pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), hari ini.

Menurut Dr Haji Supry, JPD sedang giat melaksanakan projek transformasi sistem pengangkutan awam Negara Brunei Darussalam terutama perkhidmatan bas awam dan teksi.

Beliau berkata bahawa inisiatif-inisiatif dalam projek transformasi itu adalah menjurus ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih efisien dan dikawal selia dan salah satu usaha untuk yang dilaksanakan adalah memperkenalkan perkhidmatan teksi bermeter.

Dr Haji Supry mengumumkan bahawa dalam masa terdekat sistem teksi bermeter akan diperkenalkan.
Dr Haji Supry mengumumkan bahawa dalam masa terdekat sistem teksi bermeter akan diperkenalkan.

Menurutnya, pada masa ini, terdapat 50 buah teksi yang berdaftar dan beroperasi di Negara Brunei Darussalam dengan sebilangan besar daripadanya berada di Daerah Brunei dan Muara serta dikendalikan oleh pengusaha persendirian.

Dengan memperkenalkan sistem teksi bermeter nanti, ia akan menjadikan perkhidmatan teksi lebih teratur, telus dan pengguna akan menikmati kadar tambang berstruktur yang kompetitif setanding dengan kadar-kadar perkhidmatan teksi serantau.

Ini memberikan pilihan kepada orang ramai terhadap perkhidmatan pengangkutan awam serta membantu menjana peluang-peluang kepada pengusaha teksi tempatan.

Ke arah pelaksanaan sistem teksi bermeter, Kementerian Pengangkutan akan membuka tender bagi pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pelaksanaan meter teksi dan alat-alat bantuan bagi teksi-teksi di Brunei.

Oleh itu, mana-mana orang, kongsi sama dan syarikat mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dalam dokumen tender dipelawa untuk mengemukakan tender mereka di mana tender itu mula dibukakan pada 16 April dan ditutup pada pukul 2 petang, 17 Mei nanti.

Dokumen tender itu boleh diperoleh daripada Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor (MTLA) di Tingkat 2, Bangunan Ibu Pejabat JPD, Beribi dan semua dokumen yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar kepada Mini Tender Board, Kementerian Perhubungan, Tingkat 4, Bangunan Kementerian Perhubungan, Jalan Menteri Besar.

Mengulas mengenai ciri-ciri meter teksi yang akan digunakan, Dr Haji Supry berkata, ia adalah elektronik, dimuatkan dalam bekas plastik atau besi yang kukuh, mempunyai struktur tambang yang boleh diprogramkan sepenuhnya serta dapat dilihat dengan jelas oleh para penumpang.

Bagi alat-alat bantuan meter teksi, beliau berkata, ia merangkumi mesin pencetak resit, papan tanda teksi yang boleh dilihat oleh para pengguna yang menandakan jika teksi itu sudah ditempah atau tidak serta kemungkinan pengguna alat pembayaran elektronik bagi kaedah pembayaran elektronik seperti kad debit, kredit atau pra bayar.

Dr Haji Supry juga berkata, jika permintaan bagi perkhidmatan teksi meningkat khususnya daripada pengguna dan jika mempunyai keperluan bagi meningkatkan jumlah teksi, tawaran bagi mendapatkan lesen perkhidmatan teksi akan dikeluarkan.

Pada masa ini, jelas kelihatan dan hasil maklum balas daripada pemandu teksi, menunjukkan petunjuk yang positif di mana jumlah pengguna atau penumpang bagi perkhidmatan teksi sudah meningkat.

Beliau yakin dengan memperkenalkan sistem teksi bermeter yang mempunyai kadar tambang berstruktur nanti, ia bukan sahaja akan menjadikan perkhidmatan itu lebih kompetitif tetapi juga akan menjadi pilihan pengangkutan awam oleh pengguna.

Selain pembaharuan memperkenalkan meter teksi, beberapa pembaharuan yang turut diperkenalkan bersama adalah papan tanda yang menunjukkan secara nyata kadar tambang berstruktur yang baru itu, kad pengenalan pemandu teksi yang menunjukkan dengan jelas maklumat mengenai pemandu teksi termasuk nama dan lesen pemandu teksi.

Di samping itu, bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan teksi negara, pemandu-pemandu teksi, dalam masa yang terdekat akan dibenarkan beroperasi di seluruh negara dan tidak hanya terhad kepada daerah sahaja.

Dr Haji Supry menyatakan bahawa banyak lagi perancangan dan pembaharuan yang bakal diperkenalkan pada masa akan datang yang mana kesemua itu adalah sebahagian daripada projek transformasi sistem pengangkutan awam Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA