Perkhidmatan vaksinasi berpindah ke Berakas 1 Okt

Perkhidmatan vaksinasi berpindah ke Berakas 1 Okt

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa bermula 1 Oktober 2016, Perkhidmatan Vaksinasi dan Perkhidmatan Kesihatan Cara Kerja di Blok 2G, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping akan berpindah sepenuhnya ke Pusat Pemeriksaan Kesihatan, Berakas (bangunan di belakang Stesen Minyak Berakas).

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan vaksinasi atau pelanggan Perkhidmatan Kesihatan Cara Kerja hendaklah mengunjungi Pusat Pemeriksaan Kesihatan yang dibukakan setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula jam 7:45 pagi hingga 12:15 tengah hari dan 1:30 petang hingga 4:30 petang bermula tarikh yang dinyatakan.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya, hari ini, turut menyatakan bahawa bagi memudahkan kerja-kerja pemindahan, Pusat Vaksinasi dan Perkhidmatan Kesihatan Cara Kerja akan beroperasi pada waktu pagi sahaja dan ditutup pada waktu petang iaitu pada 29 September 2016 pada jam 12:15 tengah hari.

Dalam pada itu, bermula 1 Oktober ini juga, perkhidmatan pendaftaran BruHIMs di Pusat Pemeriksaan Kesihatan, Berakas akan ditiadakan dan diganti dengan kaedah pendaftaran alternatif yang lain.

Para majikan atau pekerja-pekerja asing bolehlah membuat pendaftaran melalui penggunaan aplikasi mudah alih untuk pengguna Android, (cari BruHIMS), secara online di laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau membuat pendaftaran di mana-mana pusat kesihatan atau hospital yang terdekat.

Perubahan ini merupakan kesinambungan kepada usaha kementerian untuk memberikan nilai tambah kepada para pelanggan ataupun orang awam dan mengurangkan pembaziran yang selaras dengan salah satu keutamaan strategik kementerian iaitu untuk memantapkan lagi kualiti pemberian perkhidmatan melalui penyepaduan perkhidmatan, kemudahan serta infrastruktur yang sedia ada.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pemindahan dan pembaharuan ini, orang ramai bolehlah melayari laman web Kementerian Kesihatan di alamat www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

ARTIKEL YANG SAMA