Perkhidmatan WiFi diperluas

Perkhidmatan WiFi diperluas

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Bagi memenuhi permintaan perkhidmatan Wi-Fi di tempat awam yang semakin meningkat, Telekom Brunei Berhad (TelBru), hari ini, melancarkan perkhidmatan berkenaan di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara termasuk cawangan-cawangan TelBru.

Perkhidmatan tersebut akan menyediakan pemilik kedai, pemilik kafe dan pengunjung dengan sambungan Wi-Fi yang lebih selamat, boleh dipercayai dan cepat malah para pengunjung juga akan mendapat manfaat daripada jalur lebar yang lebih cepat dan boleh mengakses Wi-Fi semasa membeli-belah.

Pelancaran awal perkhidmatan berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pemasaran TelBru, Awang Lim Ming Soon dengan melancarkan logo zon Wi-Fi TelBru pertama di Coffee Bean and Tea Leaf, Kompleks Times Square, pagi ini.

Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan Wi-Fi TelBru sekiranya melihat logo tersebut di pusat membeli-belah, kedai-kedai dan restoran atau ditempat-tempat awam di seluruh negara.

Awang Lim Ming Soon semasa melancarkan logo Zon Wi-Fi TelBru pertama di Kompleks Times Square kelmarin.
Awang Lim Ming Soon semasa melancarkan logo Zon Wi-Fi TelBru pertama di Kompleks Times Square kelmarin.

Perkhidmatan baru itu boleh didapati secara percubaan dan akan dilancarkan secara rasmi di seluruh negara pada awal tahun 2016.

Pelanggan boleh mencuba perkhidmatan tersebut dengan mengakses TelBru Wi-Fi pada peranti masing-masing dan ikut arahan yang dinyatakan dengan memasukkan nombor kod baucar yang akan dipamerkan nanti.

Semasa sidang akhbar yang turut diadakan pagi ini, Awang Lim menjelaskan, perkhidmatan Wi-Fi di seluruh negara itu adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang TelBru untuk memperluaskan capaiannya ke dalam segmen wayarless dengan mewujudkan satu perkhidmatan dan produk yang lebih menarik, di mana akses kepada Internet yang mudah alih adalah 1kritikal.

Oleh itu, mana-mana pemilik kedai atau pengusaha kafe yang berminat untuk mempunyai perkhidmatan Wi-Fi TelBru di kedai premis mereka atau untuk mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah menghantar e-mel ke alamat wifi@telbru.com.bn.

Dalam pada itu, Awang Lim juga menghuraikan mengenai Pelan Wizard iaitu alat yang membolehkan pengguna mengira penggunaan data berdasarkan anggaran pelan yang paling sesuai untuk mereka.

Para pengguna bolehlah mengakses Pelan Wizard di laman sesawang www.telbru.com.bn/planwizard dan perlu menjawab soalan serta mendapatkan jumlah anggaran pengguna dan pelan jalur lebar yang disyorkan.

Ia dihasilkan untuk pengguna bagi mengetahui dan mencari pelan yang paling sesuai dan untuk pelanggan yang ingin menaik taraf kelajuan jalur lebar mereka yang sedia ada.

Beliau juga memperkenalkan tambah nilai 80GB sebagai tambahan kepada pelan tambah nilai yang ditawarkan oleh TelBru; menerusi pelan baru ini para pelanggan boleh lebih jimat dengan hanya menambah kos $0.56 per GB, berbanding pelan sebelumnya pada $0.62 per GB.

Pelan baru 80GB yang berharga $45 untuk tempoh sah 30 hari itu telah dilancarkan sejak 1 Disember 2015 dan boleh dibeli di mana-mana cawangan TelBru atau melalui talian dan aplikasi TelBru.

ARTIKEL YANG SAMA