Perkongsian antara industri dan akademi

Perkongsian antara industri dan akademi

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Dalam usaha menyokong program pembangunan sumber manusia negara dan menggalakkan graduan tempatan memperkasakan sektor swasta, selaras dengan Wawasan 2035, Telekom Brunei Berhad (TelBru) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Faculty of Integrated Technologies (FIT), Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Menandatangani bagi pihak TelBru ialah Ketua Pegawai Eksekutif, David Kay, manakala Faculty of Integrated Technologies, UBD diwakili Penolong Naib Canselor bagi Korporat dan Pentadbiran, Dayang Rubiah binti Haji Yaacub sambil disaksikan oleh Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti POKLW DSS Haji Awang Abdul Aziz, yang berlangsung di Bilik Kuliah Fakulti Bangunan Integrated Sciences, UBD.

Dekan FIT, Pengiran Dr. Mohd Iskandar bin Pengiran Haji Petra dalam ucapan alu-aluannya mengatakan, MoU ini merupakan wadah untuk menyokong program-program kejuruteraan terutamanya Information Communication System Engineering.

“Kami sentiasa bercita-cita tinggi untuk menjadi fakulti cemerlang dalam pendidikan kejuruteraan dan menghasilkan graduan kejuruteraan yang berkualiti dalam kemahiran kejuruteraan teras dengan nilai tambah profesionalisme, keusahawanan yang berwawasan, prihatin terhadap alam sekitar dan memahami kesan sosial berkaitan penggunaan teknologi.

“Kami menyambut baik kerjasama dengan TelBru yang mampu melengkapkan graduan kami dengan kemahiran sebenar dalam bidang industri ini,” tambahnya.

Majlis menandatangani dokumen di antara Faculty of Integrated Technologies (FIT) dengan Telekom Brunei Berhad (TelBru), disaksikan oleh tetamu kehormat Naib Canselor UBD.
Majlis menandatangani dokumen di antara Faculty of Integrated Technologies (FIT) dengan Telekom Brunei Berhad (TelBru), disaksikan oleh tetamu kehormat Naib Canselor UBD.

Beliau juga yakin graduan FIT akan menjadi aset kepada industri dan pihak berkepentingan seperti TelBru kerana pelajar mereka ditanda aras dengan pendedahan antarabangsa melalui program semester belajar di luar negara.

Menurutnya lagi, program yang diikuti di FIT juga diiktiraf di peringkat antarabangsa dan sedang berusaha keras menerima akreditasi ABET (Accreditation Board for Engineering and Technology) yang berprestij di Amerika Syarikat.  Salah satu daripada komponen untuk akreditasi itu ialah penyertaan pemain industri seperti TelBru bagi melancarkan lagi usaha itu dan menjadi anggota penasihat dalam pembangunan kurikulum dan penambahbaikannya.

Manakala David Kay dalam ucapannya, mengatakan kerjasama itu mengesahkan komitmen TelBru untuk bekerjasama rapat dengan universiti dan institusi pengajian lain bagi pembangunan pendidikan di negara ini.

Menurutnya, TelBru juga sudah menandatangani perjanjian serupa dengan Politeknik Brunei dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) yang merangka kerjasama dalam bentuk penajaan pelajar, perkongsian sumber pengajaran dan menawarkan latihan kepada pelajar-pelajar daripada institusi terbabit.

“Kami percaya mendidik golongan muda kita merupakan tanggungjawab bersama. Itulah sebabnya perkongsian industri dan akademi seperti ini amat penting kepada kami. Ia menawarkan platform untuk perkongsian idea dan pengalaman demi kebaikan institusi masing-masing.

“Ia boleh membawa kepada penjanaan idea dan pengetahuan baru, satu pendekatan bersama (a mutual approach), situasi menang-menang (win-win situation) dan kami di TelBru gembira dan bangga menjadi sebahagian daripada proses itu,” jelas David Kay.

Di bawah MoU berkenaan, mahasiswa FIT berpeluang memaksimumkan pengalaman pembelajaran dan teori untuk berlatih dalam persekitaran kerja sebenar dengan penempatan kerja di TelBru.

ARTIKEL YANG SAMA