Perkongsian k...

Perkongsian kajian dalam pendidikan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – SHBIE Publication and Research Club (SPARC), Universiti Brunei Darussalam (UBD) buat julung-julung kalinya telah mengadakan Perbincangan SPARC mengenai Kajian dalam Pendidikan yang diadakan di Bilik G5, CLT, UBD, hari ini.

Acara yang berlangsung selama dua hari, hingga esok berkenaan diisi dengan forum, ceramah dan juga bengkel yang menghimpunkan mahasiswa-mahasiswi pascasiswazah dalam bidang pelajaran dan ahli-ahli akademik yang berminat untuk mengongsikan bukan sahaja penyelidikan tetapi juga pengalaman dalam menceburi bidang penyelidikan pendidikan pascasiswazah.

Hadir di acara berkenaan dan menyampaikan ucapan alu-aluan ialah Penolong Dekan Kajian di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), UBD, Dr. Hajah Sallimah binti Haji Mohd Salleh. Turut hadir ialah para mahasiswa pascasiswazah, para pendidik, ahli-ahli akademik dan kakitangan SHBIE.

Dr. Hajah Sallimah dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyentuh bahawa ahli akademik, pelajar penyelidikan dan pendidik akan bersama-sama mendengar masalah dan cabaran yang dikenal pasti, pelbagai idea dan penyelesaian yang disyorkan serta perkongsian hasil penyelidikan yang telah dan akan dijalankan dalam kelas yang terdiri daripada pendidikan tinggi hingga kepada kelas rendah.

“Penyelidikan di UBD dan SHBIE khususnya telah menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun, terutamanya dengan Latihan Penyelidikan diterapkan dalam semua programnya.

Antara yang hadir di majlis berkenaan.
Antara yang hadir di majlis berkenaan.
Dr. Hajah Sallimah ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Dr. Hajah Sallimah ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

“Tatkala penyelidikan ‘ED’ berkembang dari tahun ke tahun, begitu juga dengan pengaruh profesion keguruan dalam membentuk landskap pendidikan. Hubungan antara penyelidikan dan amalan bilik darjah terus berkembang dengan lebih baik,” jelas Dr. Hajah Sallimah.

Beliau kemudian menjelaskan kepentingan penyelidikan pendidikan yang mana ia dijalankan untuk menyediakan maklumat yang boleh dipercayai mengenai masalah pendidikan dan penyelesaian mereka.

“Terdapat banyak perkara yang perlu dipertimbangkan apabila melihat apa penyelidikan pendidikan itu, sebagai contoh beberapa pemikiran yang perlu dimasukkan ke dalam melihat paradigma semasa, apa yang dianggap sebagai keterangan dalam penyelidikan pendidikan, mengekalkan kualiti dan peranan semakan dalam mengesahkan pengetahuan yang baru dalam penyelidikan pendidikan.

“Terdapat banyak pendekatan yang berbeza untuk penyelidikan pendidikan yang dibentuk oleh banyak paradigma penyelidikan yang berbeza,” tambah beliau lagi.

Melalui perbincangan berkenaan, Dr. Hajah Sallimah mengharapkan untuk membina sebuah masyarakat yang mempunyai perasaan ingin tahu, untuk melibatkan diri dengan idea dan antara satu sama lain.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi forum bertajuk ‘Embarking on the Journey: The Challenges, Struggles and Motivation’ yang melibatkan para pascasiswazah kedoktoran (PhD) dalam lepasan pascasiswazah kedoktoran yang baru sahaja menamatkan pengajian bagi mengongsikan pengalaman serta memberikan motivasi dan juga tip-tip dalam menjalankan penyelidikan dalam pendidikan.

Selain forum berkenaan, SPARC juga mengadakan bengkel-bengkel serta ‘elevator pitch’.

SPARC telah ditubuhkan dengan tujuan untuk menyokong ahli-ahli akademik dan juga pelajar SHBIE dalam penyelidikan dan penerbitan, serta menyediakan platform selamat untuk berkongsi dan membincangkan penyelidikan serta cara-cara ke hadapan dalam memajukan pendidikan ke tahap yang seterusnya.