Perkongsian kukuhkan sumber manusia

Perkongsian kukuhkan sumber manusia

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Dalam usaha untuk meningkatkan inisiatif dan peralihan strategi serta menghuraikan cabaran yang dihadapi, Institut Perkhidmatan Awam (IPA) hari ini mengadakan Majlis Pemberigaan Pembelajaran dan Pembangunan Sumber Manusia, bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Majlis yang merupakan acara tahunan bagi institut berkenaan bertujuan untuk mengongsi perolehan cadangan strategi hala tuju ke hadapan dan seterusnya menyediakan platform untuk mengukuhkan komitmen para pegawai pembangunan sumber manusia (HRD) di kementerian dan jabatan kerajaan serta dari sektor swasta.

Majlis dimulakan dengan sesi perkongsian maklumat oleh Pengarah Institut Perkhidmatan Awam, Hajah Norezan binti Haji Hambali yang meliputi pembentangan inisiatif-inisiatif strategik yang dilaksanakan sepanjang tiga tahun kebelakangan berlandaskan agenda transformasi korporat yang diterajui pada masa ini.

Dalam perkongsian itu beliau juga menyentuh mengenai perubahan trend yang mengambil tempat pada masa ini, iaitu ‘pendekatan pembelajaran campuran’ yang memerlukan peralihan strategi dalam bidang pembangunan sumber manusia.

Para pengendali dan peserta program melakukan senaman menyegarkan badan sebelum memulakan perkongsian maklumat.
Para pengendali dan peserta program melakukan senaman menyegarkan badan sebelum memulakan perkongsian maklumat.

p10-2_20160427

Sesi Perkongsian itu antara lain mengetengahkan maklumat mengenai program pembangunan Sumber Manusia yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Latihan dan Perkembangan, IPA, Awang Norazlee bin Haji Ramlee.

Beliau menerangkan mengenai program-program yang ditawarkan oleh IPA bagi tempoh bermula April 2016 hingga Mac 2017, termasuk tatacara permohonan, konsultasi dan khidmat latihan serta kursus dalaman.

Sesi perkongsian seterusnya membabitkan strategi pemasaran korporat yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Komunikasi Korporat IPA, Hajah Masni binti Haji Mohsin, yang menerangkan mengenai peranan bahagian tersebut seperti penyelarasan perkhidmatan dalaman dan luaran IPA dan serta peluang-peluang kerjasama IPA dengan institusi luar negara.

Turut dikongsi pada sesi itu ialah hasil perolehan kajian Kumpulan Petugas Pembangunan Sumber Manusia oleh Ketua Bahagian Perancangan Strategi dan Perkembangan, IPA, Dayang Siti Rozidah binti Jalani yang mengongsi penilaian ke atas tahap amalan pembangunan sumber manusia dalam Perkhidmatan Awam yang dijalankan oleh Kumpulan Petugas Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri pada 2015 ke atas 62.7 peratus kakitangan perkhidmatan awam.

Menurutnya, penilaian itu mendapati fungsi pengurusan pembangunan sumber manusia lebih fokus kepada tugas rutin, kurang dalam membuat penilaian dan penyediaan atau mengembangkan warga kerja.

Beliau menjelaskan, kajian tersebut juga dapat menyumbang ke arah usaha mengukuhkan sebuah sistem pengurusan pembangunan sumber manusia yang sedia ada kepada sebuah sistem yang lebih standard dan holistik.

Hasil kajian itu juga berupaya menambah baik kecemerlangan kementerian dan jabatan dalam melaksana kriteria-kriteria amalan baik pembangunan sumber manusia dari sudut pengurusan dan untuk mewujudkan, membudaya dan melaksanakan mekanisme-mekanisme yang mendukung perkembangan pegawai dan kakitangan.

Sesi perkongsian maklumat itu turut menyentuh mengenai Gamification in Training dan peranan para pegawai latihan selaku duta pembangunan sumber manusia yang tidak terhad kepada kerja rutin dan pentadbiran, malah meliputi peranan selaku pengurus projek, pakar strategi pembelajaran, rakan niaga dan pakar profesional.

Pada sesi petang, duta pembangunan sumber manusia telah mengikuti World Café, iaitu sesi percambahan fikiran bagi mendapatkan maklum balas bertujuan untuk memantapkan Perkhidmatan Latihan IPA selaku agen pembangunan sumber manusia.

Sementara itu, di ruang legar hotel berkenaan juga diadakan pameran yang mempamerkan statistik kehadiran peserta latihan IPA, Anugerah Pembangunan Sumber Manusia Asia yang diterima oleh IPA pada Kongres Pembangunan Sumber Manusia 2015.

Majlis tersebut diakhiri dengan penyampaian Direktori Latihan Institut Perkhidmatan Awam bagi April 2016 – Mac 2017 kepada wakil kementerian-kementerian. Majlis tersebut dihadiri oleh seramai 150 orang duta pembangunan sumber manusia dari kementerian, jabatan kerajaan dan pihak Swasta.