Perkukuh kerjasama perisikan

Perkukuh kerjasama perisikan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Para pegawai perisikan tentera dari negara Asia Pasifik disarankan supaya memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dalam bidang perisikan sebagai persiapan bagi menghadapi pelbagai ancaman terhadap keselamatan dan kesejahteraan negara anggota.

Sehubungan itu, forum kerjasama seperti APICC merupakan satu platform yang sesuai untuk menghasilkan kerjasama yang dapat memanfaatkan komuniti perisikan setiap negara yang terlibat, kata Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Berucap merasmikan Persidangan Ketua-ketua Perisikan Asia Pasifik (APICC) ke-8 2015, di Hotel Empire and Country Club hari ini Yang Dimuliakan Pehin berkata, segala ketidaktentuan yang mengancam rantau Asia Pasifik dan diburukkan lagi dengan ancaman pengganasan yang berterusan serta kelicikan jenayah terancang, pengurusan bencana alam, gempa bumi dan cuaca melampau adalah antara keadaan yang sering kali menuntut supaya agensi perisikan setiap negara sentiasa menilai semula keberkesanan respons yang diberikan sambil mencari jalan untuk bertindak lebih baik pada masa depan.

Menurut beliau, kecanggihan teknologi hari ini banyak membawa kebaikan kepada kehidupan, namun turut meningkatkan pelbagai bentuk ancaman yang baru kepada agensi keselamatan, termasuk angkatan tentera, beliau menegaskan.

Antara contoh ancaman yang beliau utarakan ialah cara kumpulan pengganas ISIS (Islamic State in Iraq dan Syria) menggerakkan sayap operasi luarannya di rantau Asia Tenggara untuk meraih sokongan dengan cara menyebarkan propaganda dan menarik penyertaan anggota baru melalui penggunaan media arus perdana atas talian dan media yang kurang popular.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih ketika menyampaikan ucapan perasmian persidangan.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih ketika menyampaikan ucapan perasmian persidangan.

“Maka, bagi menangani cabaran yang kian meningkat, kita juga perlu menyesuaikan diri dan lebih bersiapsiaga serta lebih bijak,” kata Yang Dimuliakan Pehin.

Menurutnya lagi, angkatan tentera pada hari ini perlu menggerakkan semua aset dan sentiasa mencari cara untuk memajukan keupayaan dan kekuatan dalam menghadapi cabaran-cabaran tradisi dan yang baru, terutama yang dicetuskan oleh media sosial.

“Sebagai seorang pegawai pemerintah angkatan tentera, setentunya saya akan merujuk kepada kakitangan perisikan bagi membentuk asas strategi dalam membuat keputusan,” jelasnya sambil menambah operasi atau inisiatif yang berjaya bertitik tolak daripada perisikan yang tepat dan berkesan.

Dalam menangani isu ancaman, beliau mengingatkan supaya agensi keselamatan sentiasa dapat mengenal pasti dan menilai ancaman yang tercetus di sekeliling, dan sentiasa bersiap sedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Menurut Yang Dimuliakan Pehin, agensi keselamatan sesebuah negara itu tidak mungkin dapat berdepan dengan isu yang mengancam keselamatan negara mereka tanpa mendapatkan kerjasama daripada negara-negara rakan terutama mereka di bidang perisikan, atas dasar kepercayaan.

Ini kerana sikap saling mempercayai merupakan teras dalam dunia perisikan kerana tanpanya salah perkiraan sering menjadi kesan seterusnya yang menyusul, dan tanpa usaha untuk mewujudkan perasaan saling mempercayai di kalangan negara anggota hanya akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk, ujar beliau lagi.

Persidangan perisikan selama tiga hari itu dihadiri oleh ketua perisikan angkatan tentera dari 24 negara, iaitu Australia, Bangladesh, Kemboja, Kanada, China, Perancis, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Laos, Malaysia, Maldives, Mongolia, Nepal, New Zealand, Pakistan, Filipina, Singapura, Thailand, Tonga, United Kingdom, Amerika Syarikat, Vietnam dan Negara Brunei Darussalam sebagai hos.

Ini merupakan kali pertama Brunei dan Amerika Syarikat menjadi hos bersama persidangan APICC yang bertujuan mempromosikan dialog terbuka kepada ketua-ketua perisikan tentera di rantau Asia Pasifik bagi membangunkan rangkaian mereka serta meningkatkan kerjasama ke arah tindak balas lebih bersepadu ke atas cabaran-cabaran keselamatan bersama.

ARTIKEL YANG SAMA