Perkukuh keselamatan Sabah

Perkukuh keselamatan Sabah

SEPANGGAR, 30 Ogos (Bernama) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merencanakan sembilan inisiatif bagi memperkukuh tahap keselamatan di Sabah, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan itu antaranya mengatur gerak dua pangkalan laut iaitu Pangkalan Laut Tun Azizan dan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah bagi mempertingkatkan keselamatan maritim di perairan pantai timur Sabah.

“Dari segi aset, empat bot P38 dan lima bot Silver Breeze kini diatur gerak di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan dioperasikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi melaksanakan tugas rondaan dan pemintasan di laut,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Sepanggar, di sini hari ini.

Selain itu, Hishammuddin berkata sebuah helikopter ditempatkan di KD Semporna bagi menyokong keperluan operasi Pasukan Khas Laut (Paskal) di samping penambahan dua pasukan itu untuk meningkatkan keupayaan pertahanan ESSCom.

Bagi memantapkan pertahanan udara, Hishammuddin berkata lima pesawat pejuang Hawk ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan sebagai langkah strategik melindungi kedaulatan negara dan integriti wilayah di Sabah dan Sarawak serta Laut China Selatan.

“Bagi memperkasakan lagi tahap keselamatan serta memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan berkesan, Kementerian Pertahanan sedang merancang menaik taraf Pangkalan Udara Labuan bagi menyokong operasi berterusan dan membolehkan penempatan sehingga satu skuadron Hawk,” katanya.