Perkukuh perkongsian sektor swasta untuk tingkat ekonomi

Perkukuh perkongsian sektor swasta untuk tingkat ekonomi

LABUAN, 21 Mei – Lebih banyak perkongsian sektor swasta diperlukan untuk meningkatkan ekonomi dan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan dan pelaburan, kata Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA), Datuk Yussof Mohammad.

“Perkongsian antara kerajaan dan sektor swasta terbukti membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi di negara-negara maju.

“Ini sudah pastinya akan membantu merangsang ekonomi,” katanya kepada Bernama semasa mengulas mengenai Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, hari ini.

Yussof, Pengerusi Dewan Perniagaan Bersama Labuan berkata sektor swasta juga diperlukan untuk membangunkan perniagaan yang tidak bergantung kepada sokongan kerajaan.

“Mereka mesti membangunkan daya saing antarabangsa dan menawarkan peluang bagi pempelbagaian ekonomi yang lebih besar dalam barang dan perkhidmatan, pasaran baharu dan membina sokongan bagi penyelidikan dan pembangunan menerusi perkhidmatan dengan institusi pendidikan tinggi,” katanya.

“Bagi mencapai objektif agenda ekonomi nasional, terdapat keperluan untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi bagi pertumbuhan ekonomi mampan.

“Ini termasuk menyediakan sokongan kewangan, nasihat polisi dan bantuan teknikal bagi membantu negara menambah baik tadbir urus, ketelusan dan pertanggungjawaban,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA