Perlantikan ahli baru PK Kg Sg. Kelugos

Perlantikan ahli baru PK Kg Sg. Kelugos

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 22 Nov – Seramai 14 orang Ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Sungai Kelugos yang baru dilantik telah menerima surat lantikan masing-masing pada Majlis Penyampaian Surat Lantikan di Balai Raya Kampung Sungai Kelugos, pagi tadi. Hadir menyampaikan surat lantikan tersebut ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Pegawai Lalu Lintas Daerah Polis Tutong, ASP Dayangku Norazriani binti Pengiran Anuar selaku wakil kepada Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong. Sebelum penyampaian surat lantikan, majlis juga mendengarkan Taklimat PK dan Taklimat Kesedaran Jenayah yang disampaikan oleh wakil dari Daerah Polis Tutong.

Ahli-ahli PK mempunyai peranan terlibat bekerjasama dengan Pasukan Polis Diraja Brunei dalam melaksanakan operasi sepadu dengan beberapa buah agensi kerajaan bagi mencegah kegiatan jenayah di kampung di samping membuat kerja-kerja kebajikan dalam membantu penduduk kampong.

Haji Haizul Rizal menyampaikan surat lantikan Ahli PK Kampung Sungai Kelugos.
Haji Haizul Rizal menyampaikan surat lantikan Ahli PK Kampung Sungai Kelugos.

Ia merupakan salah satu langkah yang membolehkan masyarakat kampung mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman masing-masing dengan falsafah ‘Kesejahteraan Kawasan Sejiran akan Menjamin Kesejahteraan Negara.

PK diperluaskan dengan pendekatan pembangunan masyarakat bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan dalam kalangan masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan dengan tujuan untuk membolehkan penduduk setempat bantu-membantu dalam menghadapi masalah sosial, di samping merapatkan hubungan dengan warga Polis Diraja Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA