Perlantikan SUT, Timbalan SUT

Perlantikan SUT, Timbalan SUT

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi pelantikan dan pertukaran beberapa orang pegawai kanan.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan dan pertukaran tersebut berkata, Timbalan Setiausaha Tetap (IT dan e-Kerajaan) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli dilantik menjadi Setiausaha Tetap Perindustrian di JPM;

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Pengiran Datin Shazainah binti Pengiran Dato Paduka Haji Sharifuddin ditukar ke Jabatan Perdana Menteri menjadi Setiausaha Tetap (Antarabangsa) di JPM; Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke ASEAN di Jakarta, Dayang Emaleen binti Abdul Rahman Teo dilantik menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan;

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil ditukar ke Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menjadi Setiausaha Tetap KKBS;

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Haji Zakaria bin Haji Serudin ditukar ke Kementerian Kesihatan menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan;

Ketua Pengarah Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Dr. Hajah May Faezah binti Haji Ahmad Arifin dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Kewangan) di JPM; Pengarah Pusat Kebangsaan e-Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Awang Muhammad Nor Shafiee bin Dato Paduka Haji Jalil dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap ( IT, e-Kerajaan dan Perindustrian) di JPM;

Ketua Perkembangan Perniagaan Perkhidmatan-perkhidmatan Tenaga di JPM, Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Perindustrian) di JPM dan;

Pengarah Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan Kementerian Pendidikan, Dr. Awang Hazri bin Haji Kifli menjadi Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan. Tarikh pelantikan dan pertukaran mereka berkuat kuasa mulai Selasa 21 Muharram 1437H bersamaan 3 November 2015.

ARTIKEL YANG SAMA