Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan 22-24 Mac

Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan 22-24 Mac

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Bermula 22 hingga 24 Mac 2016 Pusat Ehsan akan mengadakan Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan ke-14 2016 di Kelab Golf Diraja Brunei, Berakas yang antaranya menawarkan hadiah menarik berupa sebuah kereta bagi ‘Hole in One’ di lubang kedua dan juga wang tunai bagi beberapa lubang lain.

Kejohanan yang membawa tema ‘Perpetual Care’ itu merupakan antara usaha pihak penganjur untuk mengumpul dana bagi keperluan serta pembangunannya dan kini pusat tersebut telah melangkah lebih jauh dengan pelan utama yang dilancarkan awal tahun ini.

Perlawanan yang dibukakan kepada pemain-pemain golf di negara ini termasuk pemain golf wanita dan pemain golf senior itu akan dikenakan yuran sebanyak B$100 bagi setiap penyertaan dan harga berkenaan termasuk bagi sarapan pagi, makan tengah hari dan kemudahan buggy bagi para peserta.

Kemuncak perlawanan adalah cabaran Trofi Patron bagi pemenang keseluruhan dalam kejohanan yang menggunakan sistem 36 pukulan.

Sementara itu, bagi pemain gros pula satu acara khas akan diadakan bagi lapan pemenang teratas untuk layak merebut trofi berkenaan.

Setakat ini Pusat Ehsan sudah menerima sumbangan berupa sebuah kereta daripada Vincent and Associates bagi ‘Hole in One’ bagi par 3, lubang kedua, hadiah ‘Hole in One’ lain serta wang tunai B$5,000.

Selain itu, juga disediakan hadiah wang tunai bernilai B$500 bagi pemenang ‘Bull eye’.

Pada perlawanan tersebut juga, para peserta boleh mencuba cabaran ‘Putt-Stop’ di antara lubang ke-5 dan lubang ke-7 bagi memeriahkan lagi suasana kejohanan yang bakal diadakan itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA