Perlawanan kedua Futsal Perdana ditunda

Perlawanan kedua Futsal Perdana ditunda

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Perlawanan kedua Futsal Piala Perdana TelBru 2015 ditunda selepas perlawanan Kumpulan E antara TelBru dan Hawa FT berlangsung semalam.

Dua perlawanan Kumpulan A – Samba FT lawan BMB FT dan 1st Five lawan PES yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) malam ini, telah ditunda ke tarikh 14 Ogos, dengan tempat dan masa perlawanan tidak berubah.

Perlawanan Kumpulan B malam esok akan menyaksikan Hi-Tune SC menentang Creativol dan NJP FT menentang BIO FT masing-masing bermula jam 8 malam dan 9:30 malam. NJP FT yang berada dalam Kumpulan B dan sudah bergiat aktif dalam arena futsal tanah air sejak 2009, sudah membuat persiapan awal dengan pengasas dan Ketua Jurulatih Mohd Najip bin Moktal menyatakan mereka sudah menjalani latihan sejak empat bulan lepas di samping mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan tempatan.

Mereka juga sering menyertai kejohanan lain di negara ini untuk menilai kemampuan pemain, tambahnya. Beliau juga menyatakan NJP FT mahu layak menyertai salah satu daripada dua peringkat Liga Futsal Brunei (BFL) musim akan datang – Futsal Liga Super ataupun Futsal Liga Perdana.

Mohd Najip (berdiri empat kiri di barisan tengah) bersama pegawai dan pemain NJP FT.
Mohd Najip (berdiri empat kiri di barisan tengah) bersama pegawai dan pemain NJP FT.

“Laluan kami agak sukar kerana diundi bersama tiga pasukan kuat – Hi-Tune SC, Creativol dan BIO FT. Bagaimanapun kami tetap positif kerana apa saja boleh terjadi dalam perlawanan futsal,” ujarnya.

“Apa yang paling penting kami perlu bekerjasama sebagai sebuah pasukan ketika menghadapi pasukan yang mempunyai ramai pemain dengan kemahiran individu,” katanya lanjut.

Mohd Najip kemudian memberitahu NJP FT akan dipimpin di dalam gelanggang oleh ketua pasukannya, Muhammad Firdaus Ramadhan bin Abdullah Maripa.

Beliau juga mengajak orang ramai hadir ke Stadium Tertutup KSNHB malam esok (Rabu) bagi memberikan sokongan kepada pasukan yang beraksi dalam Futsal Piala Perdana TelBru.