Perlawanan Piala Malaysia dijadualkan semula 27, 28 Okt ini

Perlawanan Piala Malaysia dijadualkan semula 27, 28 Okt ini

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Perlawanan Piala Malaysia 2015 pada minggu keempat, iaitu 3 dan 4 Okt yang ditunda akibat jerebu, akan diadakan pada 27 dan 28 Okt ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin.

Aksi Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Pahang di Stadium Shah Alam dan aksi PKNS FC menentang Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dijadual semula pada 27 Okt ini.

Perlawanan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Perak menentang JDT di Stadium Perak, Ipoh pula akan diadakan pada 28 Okt.

“Sekiranya pasukan JDT layak ke perlawanan akhir AFC Cup yang dijadualkan pada 31 Okt, kesemua perlawanan yang dijadualkan pada 27 Okt akan tetap diadakan pada tarikh yang sama manakala kedua-dua perlawanan pada 28 Okt akan diadakan pada 4 Nov.

“Lanjutan dari itu, perlawanan pada minggu keenam bagi Kumpulan A dan D akan dijadualkan pada 7 Nov manakala bagi Kumpulan B dan C pula dijadualkan pada 8 Nov,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JDT yang mencipta sejarah sebagai pasukan pertama tanah air untuk berjaya melangkah masuk ke pusingan separuh akhir Piala AFC akan menerima kunjungan juara bertahan, Qadsia SC dari Kuwait pada 20 Okt ini pada aksi kedua separuh akhir selepas tewas 1-3 dalam separuh akhir pertama.

Mengenai keadaan jerebu yang mengganggu keberlangsungan perlawanan, beliau berkata Komisioner Perlawanan masih diperuntukkan kuasa untuk menundakan perlawanan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 150. – Bernama