Perlawanan Piala Persatuan Bola Sepak Veteran diteruskan

Perlawanan Piala Persatuan Bola Sepak Veteran diteruskan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Perlawanan bagi merebut Piala Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam diteruskan lagi hari ini dengan kemaraan Pasukan Stoneville ke peringkat separuh akhir setelah kegagalan Pasukan Oldstar tampil pada perlawanan yang dijadualkan menentang pasukan itu di Kompleks Sukan Batu Apoi, Temburong.

Dengan penarikan pasukan tersebut, Pasukan Stoneville secara automatik akan beraksi pada separuh akhir dengan kemenangan percuma 3-0.

Dalam perlawanan di Padang Kelab Rekreasi Diraja Brunei Berakas pula menyaksikan Pasukan XN FT berjaya menewaskan Pasukan RB Veteran dengan jaringan 3-0 hasil jaringan hatrik Radiman Haji Abdul Rahman pada minit ke-5, 8 dan 49.

Sementara itu dalam perlawanan di Kompleks Sukan Sungai Kebun pula menyaksikan Pasukan MPK PB terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Pasukan I Team dengan jaringan 3-1 hasil jaringan Ratano Tuah dan Noormasaidrwan Sani, sementara gol tunggal MPK PB pula disumbangkan oleh Bungsu Haji Bakar.

Antara aksi pada perlawanan di antara Pasukan Xn Ft (kuning) dengan Pasukan RB Veteren (hitam).
Antara aksi pada perlawanan di antara Pasukan Xn Ft (kuning) dengan Pasukan RB Veteren (hitam).

Satu lagi perlawanan berlangsung di Padang Dewan Kemasyarakatan Kilanas menyaksikan aksi berbalas serangan di antara Rimba Star dan KB Warrior yang berkesudahan dengan jaringan 2-2.

Pada babak pertama perlawanan menyaksikan Endy Vyaunny Zainuddin membuka tirai jaringan pada minit pertama perlawanan dan Mohd Ali Haji Adi menambah jaringan Rimba Star selang 16 minit kemudian.

KB Warriors tidak menunjukkan sebarang tanda beralah meskipun ketinggalan dua jaringan pada awal 30 minit pertama dan akhirnya usaha dan asakan ke kubu pertahanan Rimba Star membuahkan hasil apabila Emran Yaakub menyumbatkan jaringan pertama bagi merapatkan jurang jaringan.

Pada minit ke-70 Sahabat Muhammad Kadi menjadi wira KB Warrior apabila berjaya menggegarkan gawang Rimba Star untuk menyamakan kedudukan 2-2 dan memaksa Rimba Star untuk menentukan perlawanan di pusingan  penentuan melalui sepakan penalti yang akhirnya berpihak kepada Rimba Star dengan jaringan 6-5.

ARTIKEL YANG SAMA