Perlembagaan baru Thailand ditolak, p’raya ditangguh

Perlembagaan baru Thailand ditolak, p’raya ditangguh

BANGKOK, 6 Sept (Bernama) – Majlis Pembaharuan Kebangsaan (NRC) Thailand telah menolak draf perlembagaan baharu yang dicadangkan sekali gus menangguhkan lagi pilihan raya umum yang dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan kedua tahun depan.

Menurut beberapa laporan, sehubungan itu pilihan raya umum dijangka diadakan pada 2017.

Anggota NRC menolak draf perlembagaan dengan majoriti 135 undi menentang berbanding 105 menyokong, sementara tujuh anggota berkecuali.

Jawatankuasa Penggubalan Perlembagaan (CDC) telah menghabiskan masa sembilan bulan dan lapan belas hari untuk menggubal draf perlembagaan baharu yang mengandungi 285 perkara.

Sesi pengundian dipengerusikan oleh presiden NRC Tienchai Kiranan pagi ini.

Draf perlembagaan baru Thailand kelihatan semasa undian oleh anggota Majlis Reformasi Kebangsaan (NRC) di parlimen di Bangkok, Thailand. Draf itu gagal mendapat sokongan mencukupi dan mungkin menangguhkan lagi pilihan raya dan kembalinya kepada pemerintahan awam. – Reuters
Draf perlembagaan baru Thailand kelihatan semasa undian oleh anggota Majlis Reformasi Kebangsaan (NRC) di parlimen di Bangkok, Thailand. Draf itu gagal mendapat sokongan mencukupi dan mungkin menangguhkan lagi pilihan raya dan kembalinya kepada pemerintahan awam. – Reuters

Penolakan tersebut bermakna tempoh pemerintahan junta tentera yang merampas kuasa pada 22 Mei lalu akan berlanjutan. Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-ocha yang mengetuai Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) akan melantik 21 anggota baharu CDC dalam tempoh 30 hari yang akan menggubal draf baru perlembagaan dalam tempoh enam bulan.

Draf tersebut pula akan terus melalui proses referendum.

Draf perlembagaan yang ditolak menetapkan dewan rendah parlimen terdiri antara 450 hingga 470 anggota, 300 dipilih sementara 159 hingga 170 dari senarai parti.

Ia turut mencadangkan 200 senator, 77 dipilih dari setiap wilayah dan 123 dilantik oleh Jawatankuasa Pemilihan Senator yang diketuai Presiden Mahkamah Perlembagaan.

Malah, draf perlembagaan itu telah ditolak beberapa kumpulan sebelum ia diundi.

Awal minggu ini, bekas parti memerintah Parti Pheu Thai telah mengeluarkan kenyataan menolak draf tersebut dan menggesa anggota NRC mengundi menentang draf yang disifatkan sebagai tidak demokratik kerana ia direka untuk mengekalkan kuasa junta tentera ke atas kerajaan yang dipilih rakyat.

Draf tersebut turut ditolak oleh pembangkang utama parti Demokratik sementara para peguam Thai bagi hak asasi manusia menyifatkan ia kurang justifikasi demokratik semasa proses penggubalan.

Kumpulan peguam itu menyifatkan draf perlembagaan mengurangkan kuasa rakyat kerana ia membenarkan anggota Parlimen yang bukan dipilih boleh menjadi Perdana Menteri selain bilangan anggota Senator dilantik lebih ramai daripada yang dipilih.

Kumpulan tersebut juga menggesa Perlembagaan 1997 dikembalikan semula kerana ia disifatkan lebih demokratik dengan proses penggubalannya lebih menyeluruh walaupun ia dibubarkan selepas rampasan kuasa 19 Sept 2006.