Perlembagaan mampu bawa M’sia ke arah negara Islam paling maju

Perlembagaan mampu bawa M’sia ke arah negara Islam paling maju

PUTRAJAYA, 22 Ogos – Malaysia mampu melonjak ke arah negara Islam paling maju sekiranya Perlembagaan Malaysia, yang menyamai hampir 70 peratus Piagam Madinah yang dibuat Nabi Muhammad S.A.W, terus menjadi asas perjuangan dan disokong oleh majoriti rakyat negara ini.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Makkah, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi berkata secara umum terdapat perbezaan antara umat Islam mengenai ideologi politik, namun ia bukanlah bermakna suatu jalan yang buntu.

“Perbezaan pendapat itu adalah satu perkara biasa, yang penting bagaimana cara untuk bersatu, cara untuk majoriti (orang Islam) itu kembali kepada satu jalan.

“Saya berharap apabila pilihan raya nanti, rakyat dan pemimpin Islam jangan taksub dan fanatik pada perjuangan politik parti, sebaliknya memilih atas dasar asas Islam dan perpaduan,” katanya pada taklimat media dan penerangan bertajuk ‘Kepimpinan Sesebuah Negara Melalui Kekuatan Bangsanya’ di sini hari ini.

Taklimat media itu atas jemputan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin di pejabatnya di sini hari ini.

Datuk Seri Hamzah Zainudin bersalaman dengan Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi (kiri) pada majlis penerangan bertajuk ‘Kepimpinan Sesebuah Negara Melalui Kekuatan Bangsanya’ oleh Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram yang juga Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq Universiti Ummul Qura, Makkah, Arab Saudi itu di KPDNKK kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Hamzah Zainudin bersalaman dengan Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi (kiri) pada majlis penerangan bertajuk ‘Kepimpinan Sesebuah Negara Melalui Kekuatan Bangsanya’ oleh Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram yang juga Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq Universiti Ummul Qura, Makkah, Arab Saudi itu di KPDNKK kelmarin. – Bernama

Sulaiman berada di Malaysia bagi menghadiri seminar dakwah bertajuk ‘Penyatuan dan Perpaduan Ummah’ di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur anjuran Yayasan Ikatan ASEAN yang diadakan pada 19 hingga 21 Ogos.

Taklimat beliau diterjemahkan oleh Pengarah Urusan Yayasan Kebajikan Nusantara Ismail Omar yang juga Pengetua Sekolah Maahad Tahfiz Kiblah, Bangi, Selangor.

Sulaiman berkata Malaysia kini adalah salah satu negara yang popular dalam kalangan negara Islam selain Arab Saudi dan Turki kerana kemajuan yang dikecapi dan wajar dicontoh.

“Malaysia telah lama mengamalkan manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang mana mengangkat pemimpin dalam kalangan suatu bangsa majoriti di negara ini iaitu Melayu,” katanya.

Berdasarkan perlembagaan negara ini, beliau berkata ia menekankan bahawa rakyat bebas mengamalkan agama dan budaya masing-masing serta keselamatan semua pihak akan dijamin selagi taat kepada peraturan-peraturan dipersetujui.

“Ia hampir sama termaktub dalam Piagam Madinah yang semua peraturannya ke arah membentuk sebuah negara Islam yang mana menempatkan penduduk berbilang bangsa sama seperti Malaysia dan ia ternyata selaras dengan syariat Islam,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA