Perlindungan IP boleh pacu lebih banyak pelaburan ke AEC

Perlindungan IP boleh pacu lebih banyak pelaburan ke AEC

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) – Pelarasan perlindungan harta intelektual (IP) boleh memacu lebih banyak pelaburan ke dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) bersepadu.

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) berkata melindungi, menghargai dan menghormati IP adalah penting dan pelarasannya akan membawa kepada lebih banyak aktiviti perniagaan dalam AEC yang memiliki gabungan penduduk lebih 600 juta orang.

“Kami menjangka IP menjana lebih banyak pendapatan kepada komuniti itu, dengan pelaburan langsung asing lebih besar ke negara-negara anggota apabila urusan IP diselaraskan.

“Sistem IP tadbir urus dan kawal selia yang efektif akan membantu memudahkan pelaburan asing,” kata Timbalan Ketua Pengarahnya, Abdul Aziz Ismail.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai rancangan MyIPO untuk menganjurkan Persidangan Penghargaan Harta Intelek Global (GIPVC) 2015.

MyIPO hari ini mengumumkan persidangan dua tahun sekali itu diadakan kembali bermula 8-10 Jun, dengan tema bertumpu kepada ASEAN, “Ideas2Value: Accelerate ASEAN”.

Abdul Aziz berkata GIPVC 2015 menumpukan kepada ASEAN sebagai menyokong kedudukan Malaysia sebagai pengerusi perkumpulan serantau itu tahun ini.

“GIPVC 2015 akan mempercepatkan idea ekonomi dengan memanfaatkan inovasi serta kreativiti, bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan kelebihan teknologi penting bagi komuniti ASEAN,” katanya.

Satu lagi teras strategik bagi GIPVC 2015 adalah untuk mengkomersialkan dan memperoleh nilai IP sebagai kelas aset baharu.

ARTIKEL YANG SAMA