Perlu adaptasi perubahan teknologi

Perlu adaptasi perubahan teknologi

KOTA KINABALU, 2 Ogos – Setiap kakitangan awam masa kini perlu mengadaptasi diri mereka dengan perubahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) semasa bagi membantu usaha kerajaan memaksimumkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatannya kepada rakyat. Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Siringan Gubat berkata penggunaan teknologi terkini ICT merupakan kunci kepada peningkatan sistem penyampaian kerajaan dan produktiviti anggota perkhidmatan awam.

Katanya laporan Worldwide Governance Indicators 2014 yang dikeluarkan oleh Bank Dunia di bawah dimensi keberkesanan kerajaan, yang mana Malaysia mendapat markah 83.7 peratus dan diletakkan di kedudukan setanding dengan negara-negara seperti Korea Selatan dan Taiwan, membuktikan bahawa adaptasi kepada teknologi semasa itu amat peting.

“Ini membuktikan dengan wujudnya infrastruktur teknologi maklumat dan automasi, ia dapat menyokong pencapaian tahap kecekapan kerajaan.

Oleh itu, agenda besar transformasi negara harus diperkemas dengan pelbagai program transformasi ICT bagi meletakkan asas kukuh pembangunan negara dan memaksimumkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Siringan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Ketua-ketua Pegawai Maklumat Agensi Kerajaan Negeri Sabah 2016, anjuran Jabatan Perkhidmatan Komputer negeri di Hotel Tabung Haji di sini, hari ini.

Menurut Siringan, untuk memastikan kelestarian perkhidmatan awam, segala usaha yang dilaksanakan kakitangan dan agensi awam haruslah tertumpu ke arah mencapai tiga tonggak kestabilan pembangunan iaitu sosial, ekonomi dan persekitaran.

“Sesungguhnya ICT merupakan pemangkin yang membantu ke arah tersebut. Sebagai contoh (dalam aspek) pengesanan perubahan alam sekitar secara automatik, sistem pengangkutan yang pintar dan cara baru untuk meningkatkan kecekapan tenaga,” kata Siringan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA