Perlu AS$2.5 trilion demi keperluan tenaga

Perlu AS$2.5 trilion demi keperluan tenaga

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) – Asia Tenggara akan memerlukan pelaburan US$2.5 trilion dalam infrastruktur bekalan tenaga sehingga 2040 bagi menjamin keperluan tenaganya, kata Pengarah Pasaran Tenaga dan Jaminan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Keisuke Sadamori.

Beliau berkata, ASEAN perlu memastikan aliran kewangan untuk pelaburan terjamin dengan rangka kerja pelaburan yang telus dan boleh dijangka kerana ketidaktentuan peraturan dan dasar akan menghalang pelaburan ke rantau ini.

“Kami faham yang rantau ini agak bagus dalam menarik pelaburan, kira-kira US$70 bilion pada 2014, tetapi negara terbabit perlu melakukan lebih banyak lagi bagi memastikan pelaburan yang diperlukan, berlaku sebagai respons kepada peningkatan permintaan.

“Kebolehpercayaan dan kemampanan sistem tenaga di rantau ini bergantung kepada pelaburan, tetapi untuk itu berlaku, kita perlu lihat lebih banyak kemajuan dengan pembaharuan kepada pasaran tenaga domestik,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran Laporan Khas Prospek Tenaga Dunia (WEO) Ke Atas Asia Tenggara di sini, hari ini.

Sebelum itu, Sadamori membentangkan Laporan Khas WEO itu yang menekankan bahawa integrasi tinggi pasaran tenaga rantau ini akan membantu meningkatkan pembangunan sumber tenaga, memudahkan penggunaan sumber lebih cekap dan meningkatkan jaminan tenaganya.

Bagaimanapun beliau menggesa lebih banyak kemajuan dalam mengembangkan akses tenaga, dengan berkata, 120 juta penduduk masih tidak mempunyai akses kepada elektrik manakala hampir 280 juta kekurangan kemudahan memasak yang bersih.

Laporan itu juga menggesa lebih banyak usaha mengurangkan subsidi untuk bahan api fosil kerana rantau ini membelanjakan US$36 bilion ke atas subsidi berkenaan pada 2014 walaupun pembaharuan berlaku di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Myanmar.