Perlu bekerja lebih masa

BANDAR MEXICO, 12 Jan – Seorang rakyat Mexico yang mendapat gaji minimum perlu bekerja selama 24 jam 31 minit setiap hari bagi membolehkan mereka membeli bekalan makanan asas, menurut satu kajian sebuah universiti – berbanding tempoh 21 jam dan 13 minit pada awal penggal pentadbiran Presiden Enrique Pena Nieto.

Pusat Analisis Antara Disiplin (CAM) Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico membuat kesimpulan itu dalam satu laporan baharu bertajuk ‘Mexico 2018: Another social and politic defeat of the working class; the wage rises that were born dead.’

Anggota fakulti ekonomi universiti itu, Luis Lozano Arredondo dan David Lozano Tovar berkata gaji minimum terakhir Mexico yang mencukupi untuk membeli keperluan asas dan masih mempunyai sedikit baki ialah pada Disember 1987.

“Sejak itu, tidak ada lagi kemungkinan untuk memulihkan kuasa pembelian.”

Pada 1987, hanya 4 jam dan 53 minit tempoh bekerja diperlukan untuk mendapatkan belanja bagi membeli keperluan asas.

Ini bermakna pekerja mempunyai masa 19 jam dan 7 minit untuk melakukan aktiviti peribadi, termasuk waktu rehat dan masa senggang.

Pada Oktober 2017, gaji minimum di Mexico ialah 80.04 peso (kira-kira AS$4.15) bagi waktu bekerja selama lapan jam sehari namun harga bagi ‘Recommended Food Basket’ (CAR) harian ialah 245.34 peso (AS$12.70).

Ini bermakna kehilangan kuasa pembelian antara 16 Disember 1987 dan 26 Oktober 2017 ialah sebanyak 80.8 peratus.

Sebelum gaji minimum tahun ini meningkat kepada 88.36 peso (AS$4.59), seorang rakyat Mexico hanya mampu membeli sebanyak 32.62 peratus daripada CAR.

Bagaimanapun, kos bekalan asas seperti telur, avokado, gas cecair dan tortila jagung telah meningkat antara 24 dan 34 peratus. – Bernama