Perlu benih padi penghasilan tinggi

Perlu benih padi penghasilan tinggi

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Negara Brunei Darussalam memerlukan benih padi yang mengeluarkan penghasilan beras yang tinggi, untuk meningkatkan penghasilan beras tempatan, sekali gus mengurangkan pengimportan negara.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong berkata, Brunei sedang berusaha mendapatkan pelbagai jenis beras baru yang mampu menghasilkan lebih 12 hingga 13 tan per hektar bagi mengurangkan kos penghasilan dan menambah keuntungan kepada para petani.

“Sekarang kita mempunyai beras ‘Titih’ yang mampu menghasilkan 8 tan per hektar berbanding dengan beras ‘Laila’ yang hanya menghasilkan 3 tan per hektar secara purata.

“Bagaimanapun penghasilan ini belum mencapai sasaran mendapatkan 13 tan per hektar,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penuaian Padi Tanaman Produk Biogene dari Indonesia dengan kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan di ladang padi, Kampung Wasan hari ini.

Syarikat Biogene telah diberi kepercayaan untuk mencuba benih padi mereka yang telah berjaya menghasilkan sehingga 13 tan beras per hektar di Indonesia.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika ditemu bual media.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika ditemu bual media.

Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali, tiga jenis padi telah diperkenalkan di Brunei melalui syarikat tersebut, salah satu daripadanya mampu menghasilkan 9 tan per hektar dalam penanaman percubaan pertama mereka.

“Ini dikira sebagai percubaan dulu, selepas percubaan dua atau tiga kali kita akan mengetahui jumlah sebenar penghasilan yang diperolehi secara purata melalui benih itu nanti.”

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bagaimanapun menarik perhatian bahawa, ia mungkin tidak berfungsi di Brunei kerana negara ini mempunyai jenis tanah berlainan dan masam, sebagai contoh berbanding di Surabaya, Indonesia mempunyai tanah gunung berapi yang subur, mampu menghasilkan 12 hingga 13 tan padi per hektar.

“Setiap petani mampu menghasilkan penghasilan beras yang tinggi atau meningkatkan penghasilan sebanyak mungkin dengan bantuan teknologi dan kerjasama dengan rakan-rakan di rantau ini, itulah fokus utama kami.

“Dengan itu kami membukakan peluang kepada syarikat-syarikat yang mampu memberi penghasilan padi yang tinggi dengan menyediakan tanah berkeluasan 500 hektar untuk penanaman padi. Sebanyak 150 hektar juga dibukakan di Kampung Panchor Murai kepada orang ramai yang ingin menanam padi, dengan syarat mampu menghasilkan beras sekurang-kurangnya 8 tan per hektar,” jelas beliau.

Sementara itu Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Nurul Qomar memberitahu media bahawa kerjasama dalam pertanian itu dijalankan buat kali pertama dan penghasilan oleh Syarikat Biogene adalah lebih baik daripada sebelumnya.

Menurut beliau, Indonesia mempunyai teknologi digunakan di Brunei Darussalam, walaupun berlainan tanah yang memerlukan usaha lebih untuk membuatkan tanah menjadi subur. Seperti percubaan penanaman padi di Kalimantan, juga mempunyai masalah yang sama seperti di Brunei tetapi ia terbukti berjaya.

Agronomi dari PT Biogene Plantation, Nasikin pula berkata, tiga jenis padi diperkenalkan untuk percubaan di negara ini iaitu Sembada B9, Sembada 168 dan Sembada 989.

“Ini adalah percubaan pertama bagi melihat keadaan penghasilan yang boleh dipertingkatkan. Setakat ini kami belum mencapai penghasilan tinggi yang ditetapkan disebabkan tanah yang masam dan juga penyakit-penyakit yang menonjol. Tetapi kami mampu mencegahnya. Sembada B9 yang ditanam di ladang padi Wasan menghasilkan lebih banyak padi berbanding dengan Sembada 168.

“Secara umum, ketiga-tiga produk ini mempunyai potensi baik dan diharap menghasilkan padi yang lebih baik nanti,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA