Perlu berdaftar

Perlu berdaftar

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Kementerian Pendidikan mengingatkan semua peringkat institusi pendidikan dan tenaga pengajar di negara ini supaya mendaftar di bawah keperluan Akta Pendidikan.

Dalam kenyataannya, kelmarin, kementerian berkenaan turut memberi amaran bahawa kegagalan untuk berbuat demikian menyalahi undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan mahkamah.

Pihak kementerian memaklumkan bahawa mengikut Bab 75 (1) Akta Pendidikan (Penggal 210), semua institusi pendidikan termasuk sekolah-sekolah formal swasta (peringkat tadika, rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi) dan tidak formal swasta (sekolah tuisyen, pusat bahasa, pusat latihan komputer, perdagangan atau kemahiran, sekolah muzik dan sebagainya) dikehendaki untuk berdaftar di bawah akta tersebut.

Bab 98 Akta berkenaan turut memperuntukkan supaya semua guru yang mengajar di sekolah-sekolah atau mana-mana tempat lazim diadakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk berdaftar di bawah akta ini.

Kementerian Pendidikan selanjutnya mengingatkan semua institusi pendidikan swasta yang telah berdaftar dengan kementerian berkenaan untuk memperbaharui pendaftaran institusi-institusi pendidikan dan guru-guru, tiga bulan sebelum tarikh mansuh pendaftaran.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai pendaftaran boleh diperoleh di Bahagian Pendidikan Swasta, Blok D, Tingkat 4, Kementerian Pendidikan, Lapangan Terbang Lama, Berakas atau menghubungi 2382621.

ARTIKEL YANG SAMA