Perlu bersikap proaktif, inovatif dan kreatif

Perlu bersikap proaktif, inovatif dan kreatif

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Para pegawai yang baru menamatkan pengajian masing-masing terutama yang kembali dari luar negara perlu bersikap proaktif, inovatif dan kreatif dalam mencetuskan idea bernas bagi menghasilkan pembaharuan di bidang masing-masing.

Ini kerana sumbangan mereka dapat memberikan impak yang signifikan serta mentransformasikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan ke arah meningkatkan keberkesanan dan mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan di negara ini setanding dengan negara maju.

Saranan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sijil bagi Kursus Orientasi bagi Pegawai Tempatan yang Baru Berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan, yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional dan Teknikal) di Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rahmah binti Haji Mohd Said serta pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus.
Tetamu kehormat (tengah) bergambar bersama peserta kursus.
Tetamu kehormat (tengah) bergambar bersama peserta kursus.

Katanya, para pegawai juga diharap dapat mengenal pasti amalan-amalan terbaik yang pernah dipelajari di institusi pengajian tinggi atau semasa pengalaman bertugas supaya ilmu yang ditimba tidak disia-siakan malahan diadaptasikan di mana perlu dan bersesuaian ke arah meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Kursus Orientasi dan Induksi bagi Pegawai Tempatan yang baru berkhidmat di Kementerian Kesihatan bagi Tahun 2015 telah diadakan mulai 29 Ogos hingga 14 September 2015.

Seramai 40 orang pegawai yang terdiri daripada pakar/pegawai yang baru berkhidmat dengan kementerian itu telah menghadiri kursus itu.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang 17 hari kursus itu diadakan, yang mana peserta kursus diberikan taklimat dan penerangan oleh ketua pengarah, pengarah dan pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

ARTIKEL YANG SAMA