Perlu bijak buat penilaian

Perlu bijak buat penilaian

Oleh Salawati Haji Yahya, Nur Wasimah S & Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyeru orang-orang Islam supaya bersikap lebih bijaksana dalam membuat penilaian dan cara terbaik membuat penilaian itu ialah dengan berpandukan kepada sumber-sumber asal Al-Quran dan Al-Hadith serta para ulama.

“Beta penuh percaya jika ia diikut dengan semua pihak bersedia menerima persepsi yang benar, maka impaknya adalah hebat untuk kebaikan bersama.”

Terdahulu, semasa bertitah pada Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2015 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini, Baginda mengingatkan supaya tafsiran ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadith tidak dibuat dengan sesuka hati tetapi patut diserahkan kepada mereka yang layak dan berhak melakukannya iaitu yang terdiri daripada kalangan para ulama, muktabar dan ahli tafsir.

“Tentang Wasatiah, kita sudah banyak mendengarnya, tetapi menurut hemat Beta tidaklah salah kalau kita terus memperkatakan berdasarkan ilmu itu adalah amat luas tiada sempadan.

“Demikianlah kita boleh terus menggali apa yang ada dalam Wasatiah itu, apa ia yang sebenarnya, apa isi dan falsafah, semua itu sangat mustahak dan berguna untuk diketahui, andainya terdapat sebarang perbezaan pendapat, maka itu adalah perkara biasa dan malah oleh agama ia masih dianggap rahmat.”

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah semasa merasmikan Majlis Ilmu 2015 sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda Ke-69 Tahun di ICC, Berakas.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah semasa merasmikan Majlis Ilmu 2015 sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda Ke-69 Tahun di ICC, Berakas.

Namun, titah Baginda Sultan lagi, agama sendiri juga membimbing supaya orang-orang yang bercanggah pendapat jika ada, hendaklah mereka itu kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadith.

Adapun tunduk kepada Al-Quran dan Al-Hadith itu, memang ia dituntut oleh agama sebagai wajib kerana inilah sahaja satu-satunya jaminan untuk memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

“Namun sayugia diingat di sana terdapat banyak ayat Al-Quran dan Al-Hadith yang tidak jelas pengertiannya yang memerlukan tafsiran, lalu untuk itu, ia pun sangat mustahak untuk di tafsir tetapi sungguhpun begitu bukanlah dengan sesuka hati membuat tafsiran melainkan patut diserahkan kepada mereka yang layak dan berhak melakukannya terdiri daripada kalangan para ulama, muktabar dan ahli tafsir jua.

“Di sinilah kita perlu melihat mana tafsiran yang benar-benar mengikut kaedah atau formula keilmuan dan mana yang tidak. Ini boleh dibezakan dari sudut kaca mata, kaca mata ulama dan kaca mata bukan ulama, tentu sahaja ia berbeza,” titah Baginda.

Menyentuh mengenai dengan Majlis Ilmu 2015, Baginda Sultan melihat majlis itu adalah sangat-sangat bermakna dari sudut semangat dan tujuannya, untuk memenuhi tuntutan agama supaya mengadakan permuzakarahan dan perbincangan dalam bidang-bidang keilmuan di mana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab para ilmuan bagi menghidupkan ilmu itu dan menghidangkannya kepada umum.

“Masyarakat sangat berhajat kepada ilmu kerana ilmu itu adalah suluh yang menerangi kehidupan dan santapan bagi rohani. Ilmu tidak akan mekar tanpa digilap, adapun perbincangan atau permuzakarahan adalah salah satu cara menggilap ilmu.”

Oleh itu, Baginda bertitah melahirkan perasaan amat gembira kerana Brunei Darussalam pada hari ini, turut menyumbang ke arah mengilap ilmu itu.

“Beta berharap para ilmuan yang terlibat dengan usaha besar ini, akan dapat merealisasikan peranan mereka selaku Da’ie guru dan pembimbing yang dirahmati Allah.

“Sepatah kata yang dituang ke atas kertas atau ucapan oleh lidah adalah ia cahaya dari ilmu dan bayangkan kalau kata-kata itu terbentuk menjadi sebuah kertas kerja atau ucapan panjang maka tidak syak lagi ia adalah cahaya berlapis cahaya.

“Demikianlah hebatnya ilmu itu, Beta tidak ragu majlis pada hari ini dan berikutnya untuk beberapa hari selanjutnya, Insya Allah akan dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang berguna untuk jadi rujukan dan panduan kita bersama.”

ARTIKEL YANG SAMA