Perlu diamalkan

Perlu diamalkan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan liriknya yang berupa lafaz-lafaz doa perlu dibincangkan di peringkat eksekutif supaya dapat dijadikan amalan doa wajib yang dibacakan sebelum bermula sesuatu acara rasmi di negara ini.

Ini kerana lagu kebangsaan itu sama berperanan untuk mengesankan lagi kemantapan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara berpemerintahan beraja yang berkebajikan.

Perkara itu disuarakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika menyampaikan ceramah khas bertajuk ‘Ilahi Selamatkan Brunei Darussalam’ pada Majlis Perhimpunan Hari Kebangsaan ke-32 bagi 2016 warga Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa di Berakas itu, beliau berkata, semua generasi Brunei adalah lebih daripada patut untuk mensyukuri Allah, dan tidak lupa daratan setelah Negara Brunei Darussalam selamat dalam mengharungi sejarah menerusi episod-episod terpenting sehingga kemerdekaannya pada tahun 1984.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan mengenai signifikan doa rasmi Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta mengulas ungkapan lirik lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan harapan bahawa doa rasmi itu ada kesannya dalam mewujudkan dan mengekalkan keadaan aman makmur.

Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan ceramah khas.
Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan ceramah khas.

Beliau berkata, doa itu juga ada kesannya terhadap pemerintahan yang adil dan berkebajikan yang menjadi ikutan, raja serta rakyat yang sentiasa bersatu dan sehaluan serta tidak menaruh syak dan waham terhadap satu sama lain.

Yang Berhormat Pehin menekankan adalah wajar doa rasmi itu sentiasa dibacakan atau diaminkan di masjid-masjid, surau dan dalam setiap acara majlis, formal dan tidak formal.

Begitu jugalah dengan lagu kebangsaan, yang menurutnya, hendaklah dinyanyikan menurut yang selayaknya, terutama di sekolah-sekolah kerana dengan demikian kita boleh sentiasa menaruh harapan kepada Allah S.W.T bahawa dengan doa dan lafaz-lafaz doa yang ada itu, kita akan sentiasa mengingati-Nya.

Ini kerana pemerintahan dan rakyat negara ini adalah bangsa yang tidak melupakan Allah dan wajar bernama Negara Zikir.

Antara warga KHEU yang menghadiri majlis itu.
Antara warga KHEU yang menghadiri majlis itu.
among the female students that attended the event yesterday
among the female students that attended the event yesterday

Terdahulu sebelum itu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun bin Haji Junid, selaku Timbalan Pengerusi Bersama Majlis Perhimpunan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 Tahun bagi warga kementerian dalam ucapan alu-aluannya, menyatakan bahawa tujuan majlis itu diadakan adalah bagi merangsang semangat meningkatkan mutu khidmat bidang keagamaan pada mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Di samping itu, perhimpunan itu juga sebagai wadah bagi mengeratkan silaturahim di antara warga Kementerian Hal Ehwal Ugama dan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-32 tahun.

Seramai 2,000 orang warga Kementerian Hal Ehwal Ugama menyertai perhimpunan dan mendengar ceramah perdana tersebut dengan harapan tinggi agar ia dapat menyuntik semangat semua warga kementerian dalam menanam semangat patriotik kepada negara tercinta bagi mencapai matlamat negara sebagai sebuah Negara Zikir dan Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur (Negara yang Aman Ma’mur dan Tuhan yang Maha Pengampun). Perhimpunan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 Tahun bagi Warga Kementerian Hal Ehwal Ugama turut disemarakkan dengan acara menyanyikan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Bacaan Ratib Al-Attas beramai-ramai dan diikuti dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA