Perlu dikemas kini

Perlu dikemas kini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Sebilangan besar negara-negara di dunia sedang melaksanakan transformasi dari segi kaedah penyampaian penjagaan kesihatan mereka untuk memenuhi keperluan masyarakat dan penduduk yang sedang berubah.

Bagi rantau Asia Tenggara, perubahan corak penyakit membuat semua pihak yang berkenaan untuk merubah model penjagaan supaya ia lebih sesuai, efektif serta berbaloi bagi pihak-pihak yang berkepentingan.

Dalam hubungan itu, penyediaan penjagaan itu perlu dikemaskinikan supaya ia lebih berpusatkan atau berasaskan pesakit dan diselaraskan dalam pelbagai situasi penjagaan kesihatan, jelas Ketua Pegawai Eksekutif, Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay ketika berucap pada perasmian Persidangan Kejururawatan Kardiologi dan Profesional Penjagaan Kesihatan Bersekutu ke-5 yang berlangsung di Royal Berkshire, Royal Brunei Polo & Riding Club, Jerudong, hari ini.

Turut hadir semasa persidangan itu ialah Konsultan Pembedahan Kardiotoraks, Dato Paduka Dr Haji Isham bin Haji Jaafar dan Ketua Perkhidmatan Klinikal, Gleaneagles JPMC, Dr Eugene Sim.

Dr Tay berkata, amalan perubahan dan inovasi yang berjaya memerlukan organisasi dan individu untuk bekerjasama supaya dapat menjana budaya organisasi yang berasaskan kepada satu visi, strategi, matlamat dan pembelajaran berterusan supaya dapat menghasilkan dan menimbangkan idea, menjalin hubungan dan rangkaian dengan rakan-rakan kongsi luar atau pihak yang berkepentingan bagi membangunkan sistem dan struktur yang teguh dalam perkongsian serta penyampaian maklumat.

Dr Peter Tay menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penceramah di persidangan itu.
Dr Peter Tay menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penceramah di persidangan itu.

Beliau turut menyatakan bahawa perbincangan dan pembelajaran yang berterusan merentas semua agensi yang terlibat dalam proses penjagaan kesihatan adalah amat penting supaya mereka dapat berubah dan memperbaiki lagi diri mereka untuk memenuhi keperluan yang pesat berubah.

Dalam hubungan itu, ulasnya lagi, jururawat-jururawat dan profesional penjagaan kesihatan bersekutu harus berupaya untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti baik, selamat dan konsisten bagi memastikan pesakit-pesakit, keluarga mereka dan masyarakat menerima penjagaan yang penuh belas kasihan, menikmati standard dan kualiti kehidupan yang tinggi yang setanding dengan negara-negara ekonomi terbaik di dunia.

Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah amat penting bagi pembekal penjagaan kesihatan mempunyai tanggungjawab profesional dan undang-undang untuk sentiasa mengemaskinikan ilmu pengetahuan mereka serta untuk menggunakan ilmu pengetahuan itu dalam amalan harian mereka.

Persidangan yang membawa tema, ‘Meletakan Inovasi ke dalam Amalan,’ itu disertai seramai 200 orang peserta yang merangkumi doktor, jururawat dan profesional penjagaan kesihatan dari dalam dan luar negara.

Semasa persidangan sehari itu, para penceramah dari dalam dan luar negara termasuk Brunei, Myanmar, Malaysia, Pakistan dan India, membentangkan dan menyampaikan pelbagai isu serta dapatan mengenai isu-isu yang berhubungan dengan inovasi dalam bidang penjagaan kesihatan.

ARTIKEL YANG SAMA