Perlu fokus transformasi, pembangunan

Perlu fokus transformasi, pembangunan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Singapura dan Negara Brunei Darussalam perlu memfokuskan transformasi dan pembangunan dalam pendidikan serta ekonomi untuk kekal berdaya saing di dalam ekonomi global.

Ini kerana cabaran besar menanti kedua-dua negara kecil ini di persada dunia dan tumpuan ke atas kedua-dua perkara di atas dalam usahanya menjadikan ekonomi kukuh, berdaya saing sekali gus dapat menyediakan peluang pekerjaan di negara masing-masing, amat signifikan.

Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Vivian Balakrishnan berkata demikian ketika ditemu bual semasa lawatan Pameran ‘Foto Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura: Hubungan Istimewa’ sempena Ulang Tahun Hubungan Dua Hala ke-50 di antara kedua-dua buah negara di Galeri Seni, Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan hari ini.

Menurut Tuan Yang Terutama, ini merupakan lawatan pertamanya ke negara-negara rantau Asia Tenggara dan Brunei Darussalam menjadi negara pertama yang dikunjungi sebagai Menteri Luar Singapura kerana hubungan persahabatan istimewa antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

“Kesaksamaan di antara kedua-dua negara dan kepercayaan serta kerjasama dalam banyak aspek termasuk perdagangan dan ketenteraan menjadikan Brunei Darussalam sebagai destinasi pertama saya,” ujarnya.

TYT Dr. Vivian (kiri) ketika melawat Galeri Seni, Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan.
TYT Dr. Vivian (kiri) ketika melawat Galeri Seni, Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan.

Ketika mengulas mengenai isu jerebu, TYT Dr. Vivian Balakrishnan berkata, meskipun Brunei Darussalam lebih bernasib baik kerana tidak banyak terjejas dengan masalah jerebu, ia kini menjadi masalah serantau dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya.

Menurutnya lagi, kini enam buah negara iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand dan Filipina terjejas kerana jerebu dan memerlukan negara-negara ini dan ASEAN untuk segera menanganinya.

“Kita perlu memainkan peranan kita untuk membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan dan menggesa supaya menghentikan kerja yang jelas memberikan kesan negatif kepada rantau ini,” tegasnya.

Manakala ketika menyentuh mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pula, beliau menekankan bahawa ia merupakan peluang dan cabaran besar untuk berdaya saing di peringkat global dan melebarkan perdagangan merentasi Pasifik.

“Singapura dan Brunei sebagai negara kecil perlu bersiap siaga dalam persaingan kerana banyak negara kecil terpaksa berundur daripada perdagangan dunia yang semakin mencabar ini. Untuk itu,kita perlu memantapkan persediaan.”

ARTIKEL YANG SAMA