Perlu kerjasama rakan ASEAN

Perlu kerjasama rakan ASEAN

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Malaysia meminta kerjasama kukuh daripada semua negara ASEAN bagi membendung isu pemerdagangan manusia dan pendatang tanpa izin (PATI).

Anggota Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Senator Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata kerjasama itu diperlukan untuk memperkukuh dan memperketat penguatkuasaan khususnya di sempadan rantau ini.

“Kita perlukan kerjasama daripada semua negara ASEAN seperti kerajaan Indonesia dan Thailand.

“Kalau dilihatkan PATI, tumpuan aktiviti itu lebih kepada Malaysia dalam kalangan negara ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa berkaitan Penyataan Bersama bersempena Perhimpunan Agung ke-36 AIPA di sini, Khamis.

Bagaimanapun, beliau mengakui penguatkuasaan yang efektif bukan satu perkara yang mudah dilakukan kerana kedudukan sempadan yang luas dalam rantau ASEAN.

Merujuk kepada penemuan ratusan kubur mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis baru-baru ini, Ibrahim berkata ASEAN perlu mencari pendekatan yang menjurus kepada faktor kemanusiaan bagi memastikan aktiviti pemerdagangan manusia diselesaikan dengan lebih efektif. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA