Perlu lebih banyak usaha untuk tingkat perdagangan dunia Islam

Perlu lebih banyak usaha untuk tingkat perdagangan dunia Islam

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) – Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi pelaburan dan perdagangan dalam dunia Islam kerana hampir 40 peratus daripada 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dikategorikan sebagai antara negara mundur.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata program seperti Muslim World BIZ boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan.

“Walaupun negara-negara anggota OIC secara kolektifnya menjana AS$10 trilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar, masih terdapat jurang yang besar antara negara-negara Islam,” katanya.

Beliau berkata perdagangan dijangka meningkat terutamanya dalam kewangan Islam, produk dan perkhidmatan halal, perniagaan pertanian, minyak dan gas, pelancongan, pendidikan, teknologi maklumat dan komunikasi serta pembuatan.

“Ini juga akan menghasilkan peluang pekerjaan baru dan menjana pendapatan lebih tinggi untuk masyarakat di seluruh dunia Islam.

“Aliran perdagangan dan pelaburan masa depan juga akan didorong oleh peningkatan hubungan dan platform kerjasama seperti Muslim World BIZ,” katanya dalam ucapan pada pelancaran awal OIC World BIZ 2016 di sini Selasa.

Pada masa ini, Johari berkata, pasaran Islam, dengan jumlah penduduk kira-kira 1.6 bilion orang, muncul sebagai sasaran global baru untuk syarikat antarabangsa.

“Malaysia sendiri telah mencipta nama dalam kewangan Islam di mana kita adalah penerbit terbesar Sukuk global iaitu sebanyak 55 peratus daripada jumlah terbitan sukuk, walaupun kita negara kecil,” katanya.

Walau apapun perbezaan ekonomi, beliau berkata, acara seperti Muslim World BIZ boleh mewujudkan peluang yang besar untuk rangkaian dan hubungan perdagangan serta berfungsi sebagai acara perdagangan global bagi pihak umat Islam dan bukan Islam.

“Masyarakat Islam global yang maju akan mengubah persepsi dunia bahawa umat Islam sentiasa dikaitkan dengan kemiskinan, kemunduran dan malah keganasan.

“Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput negara lain, syarikat dan entiti perniagaan dengan cara dan kapasiti mereka sendiri untuk mengambil bahagian dan menyokong acara ini, kerana ia menyediakan peluang bagi mencapai matlamat perniagaan dalam jangka panjang,” kata Johari.

OIC World BIZ 2016, yang masuk kali ketujuh diadakan, bertemakan ‘Mengubah Visi Kepada Realiti’, menyasarkan untuk menarik 300 peserta pameran dan 1,200 delegasi dari lebih 40 negara yang mencari rakan kongsi perniagaan dan bakal pelabur.

Acara lima hari itu bermula 18 Okt ini, dianjurkan OIC International Business Centre Sdn Bhd dengan kerjasama OIC, Pusat Islam Perdagangan Pembangunan dan Persatuan Dunia Perniagaan Islam Malaysia.

Pengerusi OIC World BIZ Muhammad Raja Talib Raja Mohamad berkata acara tahun ini menyasar untuk menggalakkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pelancongan perubatan Malaysia yang bertaraf dunia dalam kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam.

“Banyak negara memberi perkhidmatan kepada jutaan pesakit antarabangsa setiap tahun dan mereka menjadikan pelancongan perubatan keutamaan negara sebagai satu cara untuk meningkatkan pelancongan, ekonomi dan kualiti penjagaan kesihatan tempatan,” katanya.