Perlu lebih canggih

Perlu lebih canggih

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Negara Brunei Darussalam semakin membangun dan semakin pesat, namun jenis jenayah pun makin berkembang dan canggih, oleh itu, adalah wajar bagi Pasukan Polis Diraja Brunei juga makin canggih dan membangun.

Ini termasuk penggunaan teknologi yang boleh menjimatkan masa, wang dan tenaga, ia juga boleh mempercepatkan proses mendapatkan maklumat dan mengumpulkan maklumat.

Timbalan Menteri di Jabatan perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar menekankan perkara ini semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Upacara Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis ke-95 yang berlangsung di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis, Gadong, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2010, yang antara lain menekankan “Peraturan dan undang-undang adalah jiwa kepada masyarakat. Tanpa peraturan dan undang-undang, masyarakat akan lemah dan tidak dihormati. Oleh itu jentera penguatkuasaan mestilah kuat, tidak boleh lemah. Kerana jika ia lemah, negara dan masyarakat akan terjejas teruk”.

Menurut Dato Paduka Haji Hamdan, sejak 95 tahun lagi penubuhannya, Pasukan Polis Diraja Brunei telah banyak menyumbang dan menabur jasa bagi penduduk di negara ini.

Dato Paduka Haji Hamdan memeriksa barisan kehormat polis dalam Upacara Perbarisan sempena Sambutan Hari Polis ke-95, kelmarin.
Dato Paduka Haji Hamdan memeriksa barisan kehormat polis dalam Upacara Perbarisan sempena Sambutan Hari Polis ke-95, kelmarin.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan ucapan.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan ucapan.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan Sijil Kepujian kepada Dayang Siti hawa.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan Sijil Kepujian kepada Dayang Siti hawa.

“Pasukan Polis telah berusaha menjalankan tanggungjawabnya dalam menguatkuasakan undang-undang negara dan dari itu, adalah wajar bagi generasi warga pasukan pada hari ini untuk terus berusaha dengan tekun dan gigih dalam memartabatkan pasukan ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Untuk kekal relevan, pucuk pimpinan Pasukan Polis Diraja Brunei perlu mengatur strategi dan seterusnya melaksanakan langkah-langkah yang dirancang untuk mengatasi jenayah dan memastikan Polis Diraja Brunei terus berjaya mengekalkan keamanan serta mendapat penghormatan tinggi daripada orang ramai, langkah-langkah berkenaan juga termasuk pencegahan jenayah di mana asasnya ialah keselamatan, keamanan dan kestabilan negara,” tekan beliau.

Beliau juga menambah, kepimpinan dalam Pasukan Polis Diraja Brunei memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan strategi-strategi yang diperincikan dalam Perancangan Strategik Pasukan Polis Diraja Brunei akan terus menjadi panduan penambahbaikan perkhidmatan kepolisian yang berprestasi tinggi, menjadi rakan yang dipercayai dan pasukan yang berjaya menjalankan tanggungjawabnya.

“Dari itu, kualiti pucuk pimpinan hendaklah menggalakkan perpaduan atau kerjasama dan bukannya berpuak-puak yang boleh mengundang perpecahan. Hanya dengan adanya hala tuju yang jelas dan langkah-langkah perlaksanaan yang terperinci yang boleh difahami sehingga ke akar umbi, barulah Pasukan Polis Diraja Brunei akan berjaya menepati jangkaan masyarakat yang sangat tinggi pada hari ini,” ujar beliau lagi.

Antara peserta yang menerima Sijil Kepujian di Majlis Sambutan Hari Polis ke-95 Tahun 2016.
Antara peserta yang menerima Sijil Kepujian di Majlis Sambutan Hari Polis ke-95 Tahun 2016.

pg09_160116_dPada upacara perbarisan bertema ‘Membudayakan Profesionalisme dan Integriti Pasukan’ itu, Dato Paduka Haji Hamdan turut memeriksa perbarisan sambil diiringi Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei, yang terdiri daripada Kawalan Kehormatan dan 15 kontinjen yang merangkumi lebih kurang 900 orang termasuk rombongan panji-panji Pasukan Polis Diraja Brunei.

Di samping itu, majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Kepujian kepada enam orang penerima orang awam dan anggota polis yang bekerjasama dalam operasi dan siasatan sehingga kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Penolong Penguasa Polis, Pengiran Haji Abu Naba’aa bin Pengiran Haji Yusof dan Sgt 2819 Haji Yusran bin Haji Dagang masing-masing menerima Sijil Kepujian Pesuruhjaya Polis atas sumbangan mereka membantu pasukan dalam menyelesaikan kes kehilangan seorang wanita yang telah ditemui mati dalam keadaan yang mencurigakan dan serta-merta telah berjaya mengenal pasti penjenayah yang bertanggungjawab.

Inspektor Kanan Polis, Aprizam bin Haji Mohamad dan S/Sgt 3583 Muhammad Efendi bin Abdullah Kiau serta dua orang awam, Dayang Siti Hawa binti Haji Maramit dan Awang Muhammad Naqib bin Abdullah masing-masing menerima Sijil Kepujian Pesuruhjaya Polis kerana membantu pasukan dalam menyelesaikan kes curi dan pecah tabung masjid di tiga lokasi sehingga tertangkapnya seorang penjenayah warga asing dan didakwa ke mahkamah di mana dia dijatuhkan hukuman penjara 68 bulan serta lima kali sebatan.

Upacara juga dimeriahkan dengan perbarisan lalu dalam masa perlahan dan cepat, serta laungan lagu Pasukan Polis Diraja Brunei bertajuk ‘Polis Sedia Berkhidmat’. Doa selamat turut dibacakan oleh imam Surau Ibu Pejabat Polis untuk memohon keberkatan Allah S.W.T.

Turut hadir pada upacara berkenaan ialah mantan pesuruhjaya polis, bekas-bekas pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei, para pengarah jabatan, penghulu dan ketua-ketua kampung, wakil jabatan-jabatan luar serta anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA