Perlu madrasah baru

Perlu madrasah baru

KOTA KINABALU, 8 Julai (Bernama) – Masjid Bandaraya Kota Kinabalu memerlukan madrasah baharu dengan ruang yang lebih luas bagi menampung jumlah murid yang semakin meningkat.

Pengerusi jawatankuasa masjid itu Jamal Sakaran berkata pihaknya kini sedang merancang untuk membina bangunan baharu lima tingkat yang dianggarkan bernilai RM8 juta.

“Kita sedang mengumpul dana untuk membina bangunan madrasah baharu ini. Madrasah ini mula beroperasi dengan sembilan murid sahaja pada 2003. Selepas 13 tahun, kita kini ada kira-kira 600 orang murid,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sedekah Jariah Al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Jamal berkata masjid itu menjangka jumlah murid madrasah tersebut bakal mencecah 1,000 orang dalam lima hingga 10 tahun akan datang.

Pada majlis itu, Musa berkata amalan bersedekah dan beramal jariah merupakan usaha murni dalam membantu pembangunan sosioekonomi umat dan negara.

Katanya, jika amalan itu digerakkan secara bersungguh-sungguh melalui kerjasama dan sokongan lapisan masyarakat Islam berdasarkan tahap keupayaan masing-masing akan dapat mewujudkan dana besar bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

Sebanyak 245 orang terdiri daripada golongan mualaf, orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas, fakir miskin dan anak yatim sekitar Likas menerima sumbangan pada majlis itu.