Perlu peka dengan cabaran kepimpinan

Perlu peka dengan cabaran kepimpinan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam perlu terus peka terhadap cabaran dalam kepimpinan dan cabaran untuk terus meningkatkan keupayaan kapasiti ahlinya dalam memastikan objektif penubuhan persatuan ini tetap terus relevan dan mampu memberikan perkhidmatan cemerlang kepada bangsa dan negara.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menekankan, dalam era ekonomi dunia yang dihambat oleh pelbagai cabaran ini, seperti juga pergerakan atau persatuan yang lain, ahli-ahli PBSM Negara Brunei Darussalam perlu lebih pro aktif dalam memastikan keupayaan peningkatan diri sendiri terutama dalam mencari jalan untuk menjana pendapatan sebagai pemangkin Dana untuk membiayai kegiatan dan aktiviti serta urus tadbir organisasi.

Di Brunei Darussalam, ujar Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, PBSM cukup sinonim dengan perkhidmatan pertolongan cemas.

Oleh itu, program latihan pertolongan cemas merupakan salah satu peluang yang boleh dikomersialkan sebagai produk menjana dana, tambah Yang Berhormat Pehin lagi semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Agung Kebangsaan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia 2016 di Bilik Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini, hari ini.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, Akademi Pertolongan Cemas PBSM Negara Brunei Darussalam yang ditubuhkan pada tahun lalu telah pun mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, sekali gus diberikan pengiktirafan antarabangsa untuk mengeluarkan sijil-sijil pertolongan cemas.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Tetamu kehormat menyampaikan surat lantikan dan sijil tauliah pangkat kepada seorang anggota PBSM.
Tetamu kehormat menyampaikan surat lantikan dan sijil tauliah pangkat kepada seorang anggota PBSM.
Acara mengangkat sumpah ahli PBSM.
Acara mengangkat sumpah ahli PBSM.

Menurutnya, PBSM Negara Brunei Darussalam memainkan peranan yang amat penting dalam memberikan perkhidmatan pertolongan cemas.

Yang Berhormat Pehin melahirkan harapan agar semua warga PBSM Negara Brunei Darussalam akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan pertolongan cemas sebagai wadah fundamental kepada pergerakan kemanusiaan yang sudah sebati dalam diri semua semenjak 68 tahun yang lalu.

Pada majlis perhimpunan agung berkenaan, Yang Berhormat Pehin turut menyempurnakan penyampaian surat lantikan dan sijil tauliah pangkat penghormatan kepada ahli lembaga penasihat.

Presiden PBSM Negara Brunei Darussalam, Haji Ismail bin Kassim dalam ucapannya berkata, penerimaan surat lantikan dan sijil tauliah pangkat penghormatan adalah satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul dengan berani, kekuatan dan kemantapan.

“Segala cabaran mestilah diterima dengan perpaduan dalam satu kumpulan yang berhemah dengan panduan serta limpah rahmat Allah jua. Semestinya jua ia diterima kerana telah dimandatkan dengan pilihan yang diadakan secara undi kepercayaan dan pilihan,” jelasnya lagi.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan atas bantuan dan sokongan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

PBSM Negara Brunei Darussalam ditubuhkan dengan matlamat utama untuk mewujudkan sebuah badan pergerakan kemanusiaan yang bertaraf antarabangsa tanpa perbezaan politik bangsa, agama dan bersesuaian dengan tujuh prinsip asas yang diamalkan oleh Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia.

ARTIKEL YANG SAMA