Perlu pemasaran agresif untuk tarik bank global ke Labuan

Perlu pemasaran agresif untuk tarik bank global ke Labuan

LABUAN, 8 Feb – Promosi dan pemasaran agresif diperlukan untuk menarik lebih banyak bank luar pesisir untuk beroperasi di Labuan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan berkata, beliau telah memberi taklimat kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak untuk memaklumkan Bank Pusat yang mengendalikan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) agar melaksanakan strategi pemasaran dan promosi yang berkesan.

“Saya telah memaklumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengenai perkara ini kerana perlu ada langkah pemasaran yang agresif,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Labuan Walk di sini, semalam.

Menurut Laporan Tahunan Labuan FSA yang dikeluarkan Mei tahun lalu, sebanyak 55 bank beroperasi di Labuan dengan jumlah aset AS$44 juta meningkat 3.7 peratus sejak 2010.

Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), cabang pemasaran Labuan FSA turut mencatat kenaikan 1,278 syarikat yang diperbadankan dengan Labuan IBFC, menjadikannya 11,630 berbanding 10,352 pada 2013.

Laporan tahunan itu menyatakan Labuan IBFC kekal menjadi lokasi menarik untuk syarikat baharu daripada pelbagai jenis entiti untuk pendaftaran.

Syarikat yang didaftarkan di Labuan IBFC berasal daripada lebih 100 negara.