Perlu ‘perisikan tempatan’ tangani Boko Haram

Perlu ‘perisikan tempatan’ tangani Boko Haram

LIBREVILLE, 10 Ogos (AFP) – Pasukan tentera rantau Afrika barat yang ditubuhkan untuk menentang Boko Haram memerlukan “perisikan tempatan” untuk membanteras pemberontakan Islam yang kini sedang ditangani oleh pasukan tentera kebangsaan, menurut pakar-pakar keselamatan.

“Dengan Boko Haram kembali melakukan pengganasan menggunakan pelbagai kaedah…Nigeria dan sekutunya perlu mempunyai rangkaian perisikan tempatan yang lebih luas dan boleh dipercayai,” kata Ryan Cummings dari firma keselamatan Red24.

Jiran Nigeria Chad, Cameroon dan Niger, yang semuanya berdepan serangan oleh Boko Haram, melancarkan tentera serantau pada awal tahun ini untuk menamatkan konflik yang setakat ini sudah meragut lebih 15,000 jiwa sejak 2009.

Tetapi Pasukan Campur Tangan Bersama Pelbagai Negara (MNJTF), yang turut termasuk Benin dan dijangka mencecah keanggotaan sehingga kira-kira 8,700 tentera dan polis, masih lagi belum beraksi.

Sementara itu, tentera kebangsaan sudah mencatatkan kejayaan dalam usaha mengusir militan Boko Harama ke kawasan pedalaman, di kawasan yang tidak dapat didatangi.

Ramai kalangan pemberontak sedang bersembunyi di Tasik Chad, kawasan cetek yang mempunyai banyak pulau-pulau kecil, dan di Hutan Sambisan di Nigeria berhampiran sempadan dengan Cameroon.

Militan Islam tersebut pernah menguasai kawasan wilayah yang besar dan bandar utama seperti Gwoza dan Baga di timur laut Nigeria di mana mereka mengisytiharkan pemerintahan khalifah Islam.

Sekarang dalam keadaan kucar-kacir, mereka mula menjalankan misi bunuh diri ke pekan dan bandar, kerap menggunakan gadis yang meletupkan diri mereka di kawasan sesak dengan orang ramai.