Perlu pertahanan kuat perangi pengganasan

Perlu pertahanan kuat perangi pengganasan

SINGAPURA, 10 April – Singapura merupakan sasaran menarik bagi kumpulan pengganas ISIS kerana masyarakat negara ini berbilang bangsa dan agama, bertentangan dengan pandangan hidup kumpulan tersebut.

Justeru, penting bagi pulau ini mempunyai sistem pertahanan yang kuat, masyarakat yang sentiasa berwaspada dan sifat berdaya tahan agar pengganas akan berfikir dua kali sebelum melakukan serangan di sini.

Ini ini ditekankan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa berucap kepada 335 kadet yang diberi pentauliahan sebagai pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) semasa Perbarisan Pentauliahan di Institut Tentera Safti (Safti), semalam.

Menurut beliau, ISIS telah menamakan Singapura sebagai sasarannya dan telah menggalak unit tempurnya di Asia Tenggara – Katibah Nusantara – untuk melakukan serangan di sini.

“Para pengganas tidak membeza-bezakan misi mereka untuk mencetuskan ketakutan dan akan menyasarkan orang awam, tidak kira bangsa atau agama.

“Mereka mengancam bukan sahaja kewujudan kita bahkan cara kita menjalani kehidupan.

“Mereka akan merekahkan fabrik sosial berbilang bangsa yang telah kita bina selama ini,” ujarnya yang dipetik oleh akhbar Berita Harian.

Memandangkan ancaman pengganasan amat jelas pada Singapura, mempunyai SAF yang kukuh merupakan tiang utama dalam perjuangan negara terhadap isu ini.

Memberi contoh, Masagos berkata usaha pembangunan semula SAF di Afghanistan dari 2007 hingga 2013 telah membantu menghalang golongan ekstremis daripada menggunakan Afghanistan untuk mengeksport pengganasan kepada pelosok dunia lain, termasuk di rantau ini.

Singapura, menurutnya akan terus memerangi ancaman pengganasan dari sumbernya dengan menyumbangkan aset bagi perjuangan global menentang ISIS.

SAF juga akan mengukuhkan rancangan respons memerangi pengganasan bersama dengan Home Team.

“Ini yang akan memberi kelebihan kepada pasukan pertahanan terhadap sebarang pengganas yang cuba melakukan serangan di Singapura,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Masagos turut mengingatkan pegawai yang diberi pentauliahan agar tidak mengambil ringan kedamaian dan kemakmuran yang dinikmati Singapura.

Ini kerana persekitaran keselamatan hari ini amat kompleks dan tidak menentu.

Beliau kemudian merujuk kepada serangan-serangan yang berlaku di lapangan terbang Brussels dan kereta api metro bulan lalu serta serangan di Jakarta.

“Anda memegang tanggungjawab untuk mempertahankan negara.

“Justeru pada masa-masa sukar, raih kekuatan sebagai pemimpin di SAF, bahawa anda mempunyai peranan penting menghalang ancaman yang dihadapi negara hari ini,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA