Perlu saling membantu

Perlu saling membantu

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Setiap konsultan dan pemborong haruslah saling bantu-membantu, bertoleransi dan mengelakkan sebarang pertelagahan, sebaliknya berdiri sebagai satu pasukan yang tegap dan kukuh yang akan menguntungkan dan menggembirakan semua pihak.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman menekankan, jika situasi kelambatan berlaku maka adalah mustahak bagi pihak konsultan bekerjasama dengan pemborong agar segera mengambil inisiatif bagi mengatasi segala halangan dan rintangan.

Di sini, Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan Kementerian Hal Ehwal Ugama wajar berperanan sebagai pemantau, pemandu arah dan pemudah cara dalam menjayakan projek-projek demikian.

Yang Berhormat Pengiran Dato membuat seruan ini semasa lawatan kerja ke tapak Projek Pembinaan Sekolah Arab Rimba dan Sekolah Arab Katok, petang tadi.

Menjelaskan mengenai kedua-dua projek pembinaan berkenaan, beliau berkata bahawa peletakan batu asas Projek Pembinaan Sekolah Arab Rimba dan Sekolah Arab Katok masing-masing telah diadakan pada Januari yang lalu dan kedua-dua dianggarkan berjumlah $95 juta keseluruhannya.

pg03_151001_b

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, pertambahan kemasukan pelajar ke persekolahan Arab menunjukkan peningkatan yang sangat ketara di mana pihak Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam unjuran kemasukan pelajar persekolahan Arab menyasarkan kenaikan sebanyak 21 peratus setiap tahun dan dijangka akan terus meningkat di masa akan datang.”

Terdahulu, Yang Berhormat Pengiran Dato telah membuat lawatan ke lokasi Projek Pembinaan Sekolah Arab Rimba di mana ketibaan beliau telah dialu-alukan oleh Ketua Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, KHEU, Pengiran Alli bin Pengiran Haji Mohammad.

Di sana, beliau meninjau perkembangan dan kemajuan di sekitar tapak projek dan seterusnya mendengarkan taklimat ringkas mengenai projek berkenaan yang disampaikan oleh pihak konsultan dan kontraktor.

Pembinaan Sekolah Arab Rimba ini menelan belanja $48.15 juta dengan keluasan 20 ekar di kawasan Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba.

Projek ini telah bermula pada 18 September 2014 yang lalu dan dijangka siap pada 17 Jun 2016.

Bangunan tersebut telah dikhususkan bagi para pelajar lelaki dan berupaya menampung seramai 2,000 orang pelajar yang dilengkapi dengan bilik-bilik darjah dan guru, makmal sains, makmal komputer, makmal bahasa, mini studio, dewan utama, kafeteria, kemudahan bersukan, perpustakaan, asrama dan lain-lain kemudahan.

Setelah itu, Yang Berhormat Menteri meneruskan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Sekolah Arab Katok yang menelan belanja $46.84 juta dengan keluasan tanah 20 ekar dan boleh menampung seramai 1,800 pelajar perempuan.

Sekolah Arab ini mengandungi lima bangunan utama di samping pelbagai kemudahan sukan, kawasan tempat letak kenderaan sebanyak 400 unit dan kawasan landskap yang terdiri daripada bangunan dewan serba guna, bangunan bilik pentadbiran dan bilik darjah, surau, dewan makan dan asrama. Projek pembinaan sekolah tersebut telah bermula pada 18 September 2014 dan dijangka siap pada 17 September 2016.

Sekolah ini dibina dengan seni reka bentuk geometri dan ukiran bercorak keIslaman serta konsep Melayu Islam Beraja yang mengarahkan kesemua bangunan menghadap ke arah kiblat. Di samping itu, unsur seni bina Islam seperti taman dan unsur air, kubah, gerbang dan corak geometri telah digunakan secara menyeluruh di dalam seni bina sekolah ini.

Kedua-dua projek ini merupakan antara projek besar kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-10 yang dikendalikan oleh KHEU.

ARTIKEL YANG SAMA