Perlu sentiasa dinamik

Perlu sentiasa dinamik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Dalam era kemajuan teknologi dan inovasi yang baru serta keadaan ekonomi global yang pesat berubah, semua orang diseru untuk sentiasa dinamik, inovatif dan mampu menyesuaikan diri kepada perubahan serta terus berusaha untuk meningkatkan kebolehan mereka supaya ilmu dan kemahiran yang ada pada diri mereka itu akan terus kekal relevan dan seiring dengan perubahan semasa.

Selain itu, mereka juga perlu mempunyai semangat tinggi dan penuh dedikasi, mampu berdikari dan kritikal iaitu mampu memberikan penyelesaian dan perkhidmatan sejajar dengan keperluan masa depan yang belum dapat dijangkakan lagi.

Seruan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan dan Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi ketika berucap pada Majlis Penyampaian Pingat-pingat dan Hadiah-hadiah Buku Universiti sempena Konvokesyen UBD ke-27 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

“Kita juga perlu mampu untuk memimpin dan tidak boleh mudah berputus asa, malah sebaliknya menjadi pemimpin barisan hadapan yang akan memandu perubahan dan perkembangan agar kita dapat menghadapi keadaan ekonomi global yang pesat berubah-ubah.”

Barisan jemputan khas yang menghadiri majlis tersebut.
Barisan jemputan khas yang menghadiri majlis tersebut.

Beliau berkata pada masa ini, kita menyaksikan satu perubahan dalam pasaran ekonomi global yang telah beralih daripada ekonomi yang berasaskan sumber alam kepada ekonomi yang berasaskan pengetahuan dengan menjadikan inovasi sebagai asas kelebihan untuk berdaya saing.

Dalam hubungan itu, era yang bergantung pada kemajuan teknologi dan inovasi telah menghasilkan pelbagai jenis pekerjaan baru untuk keperluan semasa, dan pada masa yang sama ia turut menjadikan ratusan pekerjaan lain menjadi usang dan lapuk.

Oleh itu lagi, Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain berkata pemikiran keusahawanan perlu dipupuk dalam diri semua orang kerana ia dapat membantu untuk mengenal pasti dan mengambil setiap peluang yang ada.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyampaikan anugerah kepada para penerima yang diraikan di majlis itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyampaikan anugerah kepada para penerima yang diraikan di majlis itu.

pg05_150930_c

pg05_150930_e

pg05_150930_d

“Pemikiran sebegini akan mendorong kita untuk tidak mempunyai sikap kebergantungan atau sikap menanti-nanti malahan mempunyai sikap yang lebih ‘ambitious’ (bercita-cita tinggi) dan kompetitif serta mampu mencari dan mengambil peluang bagi kemajuan diri dan masyarakat umum.”

Beliau berkata bahawa, dalam perkara itu, UBD akan terus berusaha untuk menyediakan dan menghasilkan sebarang peluang yang ada bagi setiap pelajar universiti itu untuk terus maju, berkembang dan belajar serta memupuk etos inovasi dan keusahawanan.

“Walau bagaimanapun, apa yang diberikan oleh pihak universiti hanyalah merupakan sebuah platform.”

Ulasnya lagi, “Apa yang lebih penting ialah bagi setiap individu untuk menggunakan ilmu dan pengalaman yang ditimba dengan baik dan mampu merebut serta mengambil peluang yang ada di luar sana.”

ARTIKEL YANG SAMA