Perlu sepakat...

Perlu sepakat, sepadu

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 (Sambutan Perayaan Hari Keputeraan ke-71), hari ini, mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan ke-71 yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan.

Berangkat hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz selaku Penasihat Jawatankuasa sambutan.

Turut hadir ialah Grand Chamberlain Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin, serta ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan ke-71 bagi tahun 2017.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dalam ucapan mukadimahnya berkata mesyuarat yang diadakan adalah untuk mendengar laporan dan meneliti persediaan-persediaan dan persiapan-persiapan sambutan daripada jawatankuasa-jawatankuasa.

Secara khususnya, jelasnya, mesyuarat itu meneliti rancangan-rancangan yang telah diatur di peringkat daerah bagi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah-daerah terutamanya dari segi corak persembahan.

Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar (tengah) hadir pada Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan ke-71.
Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar (tengah) hadir pada Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan ke-71.

“Dalam hubungan ini sebagaimana juga dengan persembahan pada tahun 2016, kita ingin melihat penglibatan aktif dan lebih ramai lagi golongan pelajar dan para belia.

“Kita memberikan peluang dan ruang kepada para pelajar dan belia untuk mempersembahkan kebolehan dan menonjolkan daya kreatif mereka. Dengannya kita akan dapat membantu memupuk dan memperkembangkan keyakinan diri, kebolehan serta daya kreatif generasi muda,” jelasnya lagi.

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin juga memetik semula Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Mesyuarat Kedua Jawatankuasa berkenaan pada 25 Februari lalu di mana antara lain Duli Yang Teramat Mulia bersabda perkara yang lebih berkeutamaan serta penting adalah kesan langsungnya dalam menjana kesatuan dan kesetiakawanan dalam memperteguhkan keakraban yang sedia terjalin antara seorang raja dan rakyat.

Yang Berhormat Pehin turut berkata bahawa Duli Yang Teramat Mulia juga bersabda dengan kesepakatan dan kesepaduan semua pihak acara-acara Sambutan Perayaan Hari Keputeraan ke-71 akan menjadi wadah memantapkan lagi keharmonian bernegara melalui jalinan akrab di antara raja dengan rakyat jelata, menerapkan semangat patriotik dan jati diri, kasih serta setia kepada raja, cintakan tanah air, serta bersatu padu dalam memelihara kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Dalam hubungan itu, beliau berharap mereka yang menghadiri mesyuarat itu, dapat sama-sama meneliti laporan dan taklimat mengenai rancangan-rancangan yang diatur oleh jawatankuasa-jawatankuasa dengan memberikan pandangan dan ulasan yang membina demi untuk memastikan atur cara dan persembahan yang akan dipersembahkan mempunyai mutu yang tinggi dan dapat pula meninggalkan kesan kepada mereka yang menyaksikannya nanti.

ARTIKEL YANG SAMA