Perlu serius majukan tanah

Perlu serius majukan tanah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Mei – Para pemohon tanah perlu serius untuk memajukannya, tetapi bukan mendapatkannya untuk disewakan kepada orang lain, tegas Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong.

“Banyak kes-kes yang didapati, apabila mereka telah diberikan tanah untuk dimajukan dalam bidang pertanian, tetapi disewakan untuk diusahakan oleh orang lain, dan kami telah cuba untuk mengelakkan perkara itu daripada terus berlaku, kerana kita tidak mempunyai tanah yang terlalu banyak, selain tanah turut menjadi keperluan yang lain di negara ini.

“Sehubungan itu, kita memerlukan cara yang sangat efisien dalam penggunaannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui media semasa program lawatannya ke Daerah Belait, hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau ada juga pengusaha yang serius dalam mengusahakan tanaman mereka, dan mereka ini akan dibantu untuk dikembang majukan lagi supaya dapat menghasilkan pengeluaran yang mendatangkan manfaat kepada negara dan ekonomi serta menjadi moral yang baik kepada peladang itu sendiri.

Katanya, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah memberikan banyak kemudahan kepada pengusaha-pengusaha bidang pertanian di negara ini, malah pada masa ini, turut menawarkan tanah di kawasan Taman Agritech untuk dimajukan bagi pengeluaran hasil sayur-sayuran, buah-buahan dan lainnya.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali memetik buah Golden Melon dari ladang Haji Abd Shawal di Kuala Belait kelmarin.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali memetik buah Golden Melon dari ladang Haji Abd Shawal di Kuala Belait kelmarin.

Kemudahan dari segi teknikal, seperti baja, cara penanaman, pengairan dan sebagainya juga terus diberikan kepada pengusaha ladang yang serius dalam perusahaan mereka, serta akan dibantu penyediaan kawasan tanah tambahan jika diperlukan, setelah usaha mereka mencapai kemajuan.

Dalam memajukan bidang pertanian, para peladang perlu melihat kepada potensi untuk menembusi pasaran tempatan dan eksport, kata Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali sambil menyarankan para pengusaha ladang untuk terus bekerjasama dengan orang-orang tempatan, dan fokus kepada penghasilan yang turut boleh dipasarkan keluar negara memandangkan pasaran negara yang agak kecil, selain mencari cara terbaik dalam pertanian.

Ini kerana pada masa ini sudah terlalu banyak cara moden dan terkini yang boleh membuat penghasilan yang baik, iaitu lebih berdasarkan cara berteknologi seperti hidroponik, dan sebagainya.

Dalam program lawatan itu, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali telah melawat kawasan tanaman Rock Melon, Golden Melon dan Honeydew yang diusahakan oleh Haji Abdul Shawal bin Yaman pemilik Syarikat Naaz Hanan Zulaikha di Simpang 39-60-11, RPN Kampung Pandan 7 di sini.

Usaha Haji Abdul Shawal bermula pada tahun 2010 sebagai hobi sahaja, bagaimanapun setelah melihat potensi perniagaan bidang tani yang menggalakkan dan menguntungkan, beliau menubuhkan Syarikat Naaz Hanan Zulaikah bagi tujuan untuk menceburi bidang pertanian secara eksklusif dan lebih khusus dalam memajukan perniagaan dan teknologi pertanian.

Pada masa ini beliau mengusahakan beberapa jenis buah tembikai secara sistem konvensional menggunakan konsep fertigasi untuk titisan air dan baja, selain turut menanam sayur seperti cendawan kelabu, terung putih dan hijau.

Kawasan yang dimajukan pada masa ini adalah KKP Sungai Liang seluas 0.8 hektar, Simpang 323, No 319 Jalan Kecil Sungai Taring, Lumut seluas 0.3 hektar, kawasan Perumahan Pandan 7 seluas satu ekar dan KKP Sungai Petai Jalan Labi seluas dua hektar.

Sejak penubuhannya, hasil buah dan sayuran sudah dibekalkan kepada pasar borong tamu dan hampir kesemua pasar raya utama di negara ini. Bercakap kepada media, Haji Abdul Shawal, yang juga selaku Setiausaha Cawangan Persekutuan Peniaga-Peniaga Melayu Brunei Daerah Belait, memberitahu anggaran penghasilan bagi tanaman Rock Melon adalah empat hingga lima tan sebulan.

Manakala itu, Golden Melon dan Honeydew sebanyak satu hingga dua tan sebulan, dan permintaan pasaran ke atas ketiga-tiga jenis buah tersebut mencecah sehingga 10 ke 12 tan sebulan, dan beliau masih belum dapat memenuhinya.

Menurut beliau, setakat ini syarikatnya telah memasarkan hasil tanamannya di 19 buah pasar raya utama di negara ini, dan beliau memerlukan tambahan penghasilan untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan setakat ini.

Beliau juga merancang untuk membuat pemasaran keluar negara, dan berharap melalui lawatan Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali itu akan dapat membantu beliau memperluaskan lagi perusahaannya itu.

“Saya lebih memilih kawasan tanah pasir yang berdekatan dengan pantai, dan pada masa ini penanaman kami menggunakan kawasan Kampung Pandan, ianya sesuai kerana angin dari kawasan laut, dan saya sudah memberitahu Jabatan Pertanian untuk mendapatkan nasihat, jika tanah bekas tanaman buah Tembikai di Telisai dapat kami majukan,” katanya.

Beliau menjelaskan, tanaman ketiga-tiga jenis buah tersebut, memerlukan jenis tanah pasir dan angin laut sebagai baja semula jadi di samping baja cara teknikal. Setakat ini syarikat itu terpaksa menghentikan penanaman di KKP di Sungai Liang dan Sungai Petai Jalan Labi, ekoran kawasannya yang tidak bersesuaian.

Menyentuh tentang harapannya untuk memenuhi pasaran, beliau menyatakan akan mengadakan perundingan dengan pengusaha dari China untuk memberikan kerjasama, dan mencadangkan akan mengeksport penghasilannya ke negara itu, demi menguatkan perhubungan kerjasama mereka.

“Walaupun kita tidak dapat memenuhi sepenuhnya keperluan pasaran mereka, tetapi yang penting ialah bagi menguatkan perhubungan perniagaan pertanian dengan negara itu,” ujar Haji Abdul Shawal yang telah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian sejak tujuh tahun lalu.

Program lawatan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan telah diteruskan dengan tinjauan ke ladang ternakan kambing Syarikat Bra-goat Farming and Trading Sdn Bhd di Sungai Liang yang diusahakan oleh Hajah Rohzemah binti Haji Ismail dan pengurusnya Ong Chee Leong, di atas tanah seluas 2.10 hektar.

Syarikat berkenaan mampu menampung ternakan lebih 800 ekor kambing jantan dan betina.

ARTIKEL YANG SAMA