Perlu tahu pertolongan cemas

Perlu tahu pertolongan cemas

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang situasi kritikal dan kecemasan, pertolongan cemas (First Aid) merupakan respons rawatan pertama yang diberikan bagi menyelamatkan nyawa, membantu meringankan penderitaan, kesakitan atau berusaha menstabilkan dan mengelakkan sebarang kecederaan yang lebih serius.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof menambah bahawa prosedur pertolongan cemas bukan sahaja sebagai pengganti kepada perkhidmatan kecemasan tetapi ia sangat diperlukan sebagai langkah awal yang boleh meningkatkan peluang hidup (survival) sebelum intervensi atau rawatan lanjut dilakukan oleh para profesional perubatan yang bertauliah.

Yang Berhormat Pehin menekankan kepentingan pertolongan cemas ini ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pentauliahan, Pensijilan dan Akreditasi Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas yang berlangsung di Bilik Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Seramai 18 orang jurulatih bertauliah pertolongan cemas, Akademi Pertolongan Cemas Bulan Sabit Merah diraikan di majlis itu.

Yang Berhormat Pehin ketika berucap di majlis itu.
Yang Berhormat Pehin ketika berucap di majlis itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan bergambar ramai bersama jurulatih-jurulatih pertolongan cemas bertauliah Akademi Pertolongan Cemas Bulan Sabit Merah.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan bergambar ramai bersama jurulatih-jurulatih pertolongan cemas bertauliah Akademi Pertolongan Cemas Bulan Sabit Merah.

Setiausaha Agung, Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, Sheikh Haji Abdul Kadir bin Abdullah semasa menyampaikan ucapan alu-aluan menjelaskan para peserta kursus berkenaan telah diiktiraf sebagai jurulatih yang bertauliah dan berdaftar dengan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

Dengan pensijilan yang ditauliahkan itu, mereka mempunyai kebolehan dalam menguasai pembelajaran pertolongan cemas dalam pelbagai modul dan sukatan mengikut standard yang diguna pakai oleh IFRC dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (ICRC) di peringkat serantau, global dan antarabangsa, jelas Sheikh Haji Abdul Kadir lagi.

Program pensijilan yang diberikan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam merupakan yang pertama dan persatuan berkenaan akan menyediakan Program Latihan ‘First Aid in the Community’, Program ‘Safe School’ bersama Kadet Belia Sekolah Bulan Sabit Merah yang akan dilancarkan pada tahun depan.