Perlu teliti dan berhati-hati

Perlu teliti dan berhati-hati

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Dalam bidang undang-undang, Brunei merupakan kes yang unik, kerana mempunyai Undang-undang Jenayah Sivil dan juga Undang-undang Jenayah Syariah yang sedang dikembangkan.

“Saya tidak pernah melihat mana-mana negara lain yang mempunyai tradisi sebegini, jadi apabila anda mahu melaksanakannya (kedua-dua perundangan) anda perlu berhati-hati dan teliti.

“Bukanlah Amerika Syarikat untuk menentukan, untuk mengatakan apa yang negara ini perlu lakukan, apa yang negara ini tidak perlu lakukan,” tekan Wakil Khas Komuniti Islam di Jabatan Negara Amerika Syarikat, Shaarik H. Zafar ketika ditemu bual wartawan Media Permata di Hotel Radisson.

Beliau yang berada di negara ini bagi lawatan selama dua hari, bermula hari ini, telah membincangkan tentang hak asasi manusia berkenaan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa majlis mengadap di Istana Nurul Iman, pagi tadi.

“Kami telah berbincang tentang hak asasi manusia, sebagai contoh perjanjian TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik) di mana ia adalah amat penting, kerana buat kali pertama anda akan mempunyai perjanjian perdagangan utama yang meliputi 60 peratus daripada KDNK, di mana anda akan mempunyai standard buruh, standard persekitaran dan standard hak asasi manusia yang anda tidak pernah lihat sebelum ini.

Shaarik H. Zafar (kanan) ketika temu bual bersama wartawan.
Shaarik H. Zafar (kanan) ketika temu bual bersama wartawan.

“Selain itu, kita juga bercakap tentang hakikat bahawa TPPA, di samping melindungi hak asasi manusia, ia benar-benar baik dari segi ekonomi. Ia adalah baik untuk Amerika Syarikat dan ia adalah baik untuk Brunei, kerana Brunei mempunyai tujuan untuk mempelbagaikan ekonominya selain hidrokarbon minyak. Dengan TPPA, Brunei mempunyai lebihan itu untuk membuat pemasaran di Amerika dan di negara-negara lain,” jelas beliau mengenai perbincangannya dengan Baginda Sultan.

Mengulas mengenai pertemuan itu, beliau berkata, Baginda Sultan merupakan seorang yang sangat pemurah, dan “ketika pertemuan tersebut, Baginda menyatakan bahawa Baginda sangat menghargai hubungan yang terjalin di antara kedua-dua buah negara.

“Saya berpeluang untuk bertanya kepada Baginda tentang wawasannya terhadap Brunei. Baginda menerangkan mengenai Wawasan 2035, di mana salah satu daripadanya adalah mengutamakan pendidikan.

“Baginda menekankan kepentingan mengenai pendidikan di mana Baginda mahu memastikan setiap rakyat Brunei mendapat pendidikan yang baik,” tambahnya.

Shaarik H. Zafar berada di negara ini bagi meneruskan perbincangan dengan kerajaan Brunei mengenai kepercayaan dan amalan agama Islam, serta cara-cara untuk melindungi dan memajukan hak asasi manusia selain berusaha meningkatkan persefahaman dan hubungan antara masyarakat Islam di Brunei dan Amerika Syarikat.

ARTIKEL YANG SAMA