Perlu ubah sistem kawal jerebu

Perlu ubah sistem kawal jerebu

KUCHING, 30 Ogos – Indonesia perlu meminda undang-undang dan sistem pengurusan kebakarannya sekiranya mahu masalah jerebu rentas sempadan diselesaikan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut Wan Junaidi, undang-undang Indonesia masih membenarkan pembakaran di atas tanah yang keluasannya kurang daripada 0.8 hektar.

Selain itu, katanya, sistem pengurusan tanah gambut di negara jiran itu juga kurang berkesan sehingga turut menyumbang kepada pembakaran dan keadaan berjerebu di negara itu.

“Di Malaysia kita tidak lagi membenarkan pembakaran seumpama itu dan kita berharap pihak Indonesia turut berbuat demikian supaya kejadian jerebu rentas sempadan dapat diatasi atau dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi GiatMara Sarawak di sini hari ini.

Menurut Wan Junaidi, Malaysia dapat mengawal kebakaran terbuka kerana selain undang-undangnya yang ketat ia juga mempunyai pengurusan tanah gambut yang cekap bagi mencegah kebakaran hutan.

“Bagaimanapun, saya masih yakin dengan janji yang dibuat kerajaan Indonesia semasa mesyuarat peringkat menteri-menteri ASEAN bahawa pihaknya akan mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasi masalah jerebu rentas sempadan menjelang 2020,” katanya.

Ditanya mengenai jerebu yang sedang melanda Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor serta beberapa kawasan di Semenanjung, Wan Junaidi berkata ia berpunca daripada kebakaran di Sumatera, Riau, Pekan Baru dan Kalimantan.

Bagaimanapun, katanya, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara berada pada paras yang masih sihat, kecuali di Kuala Lumpur dan Shah Alam melebihi paras 100 pagi tadi.

Katanya Sarawak bernasib baik kerana tiupan angin tidak menghala ke negeri ini dan setakat ini bebas daripada keadaan berjerebu.

Wan Junaidi turut menyangkal dakwaan beberapa pihak yang mengatakan bacaan IPU tidak tepat kerana walaupun Kuala Lumpur dan Shah Alam diliputi jerebu tebal tetapi bacaan IPUnya masih berada pada paras sihat.

Menurut beliau, jerebu yang tebal akibat asap tidak bermakna ia pada paras berbahaya kerana bacaan IPU turut mengambil kira bahan terapung yang berbahaya termasuk pelepasan asap daripada kenderaan. – Bernama